Tebus RM100 eMADANI melalui aplikasi MAE Maybank, guna di lebih 700,000 peniaga
KUALA LUMPUR,. Rakyat Malaysia berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik bernilai lebih RM500,000 apabila mereka menebus dan membelanjakan kredit e-dompet RM100 eMADANI menerusi aplikasi MAE Maybank.
Kredit e-dompet RM100 diberikan kepada rakyat Malaysia berusia 21 tahun dan ke atas daripada golongan B40 dan M40 bermula 4 Dis, sebagaimana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai lepas.
“Pengguna hanya perlu membuka aplikasi MAE, kemudian tekan ikon ‘eMADANI’ pada laman utama, masukkan maklumat mereka dan tekan ‘Submit’. Mereka akan menerima notifikasi apabila penebusan RM100 eMADANI berjaya,” menurut kenyataan Maybank.
“Jika kod QR Maybank atau DuitNow peniaga dipamerkan di kaunter, pelanggan terlebih dahulu perlu menekan ikon ‘Scan’ pada laman utama aplikasi MAE, kemudian imbas kod QR peniaga dan masukkan jumlah yang perlu dibayar, pastikan suis togol eMADANI ‘ON’ dan berwarna hijau.
“Bagaimanapun, sesetengah peniaga akan meminta untuk mengimbas kod QR pelanggan. Dalam hal ini, pelanggan perlu menekan ikon ‘Scan’ pada laman utama aplikasi MAE, kemudan tekan pada ikon ‘Show QR code’ dan tunjukkan kod QR atau kod bar kepada juruwang, pastikan suis togol eMADANI ‘ON’ dan berwarna hijau,” menurut Maybank.
Pengguna juga berpeluang memenangi hadiah termasuk Proton S70 1.5T Premium, Proton Exora 1.6T Premium, Proton Saga 1.3L Premium SAT, motosikal Honda 2023 RSX V2, 10g emas, komputer riba ‘gaming’, Samsung Z Fold 5, Smart TV, PlayStation 5 dan wang tunai sehingga RM5,000 sempena Kempen Tebus, Belanja dan Menang.
Tuntutan kredit RM100 eMADANI boleh dilakukan hingga 20 Feb 2024, manakala pembelian dibuat dari 4 Dis hingga 20 Feb 2024.
Aplikasi MAE, iaitu aplikasi perbankan gaya hidup, terpilih sebagai antara aplikasi pengagihan kredit eMADANI yang memanfaatkan kira-kira 10 juta rakyat Malaysia daripada golongan B40 dan M40, sekali gus mempercepatkan pelaksanaan dan penerimaan terhadap pembayaran tanpa tunai dalam kalangan peniaga tempatan di negara ini.
Maklumat lanjut di platform sosial media Maybank (Facebook) dan @mymaybank (X, Instagram dan TikTok).
— BERNAMA