Tan Chong Motor;  Serahkan dua unit Nissan KICKS e-POWER kepada PDRM

Tan Chong Motor; Serahkan dua unit Nissan KICKS e-POWER kepada PDRM

KUALA LUMPUR,. Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) menyerahkan dua unit Nissan KICKS e-POWER kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalani program penilaian Proof of Concept (PoC) selama dua bulan untuk menilai prestasi, kepraktisan dan kesesuaiannya dalam operasi barisan hadapan.

Menerusi program itu, kedua dua kenderaan akan menjalani penilaian rondaan dalam situasi operasi sebenar tanpa sebarang komitmen pembelian, sekali gus membolehkan PDRM menilai keupayaan, kecekapan dan kebolehsesuaiannya dalam persekitaran tugas yang mencabar.

Program penilaian itu dijangka memberi gambaran menyeluruh mengenai kemampuan Nissan KICKS e-POWER untuk memenuhi keperluan mobiliti operasi barisan hadapan, selain menyokong keperluan tugas harian anggota penguat kuasa.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Pesuruhjaya Polis Redzuan Abd Hamid berkata, PDRM sentiasa meneroka penyelesaian baharu yang mampu meningkatkan keberkesanan operasi, justeru setiap teknologi perlu dinilai dalam keadaan sebenar sebelum dipertimbangkan untuk digunakan.

“Program Proof of Concept ini membolehkan kami menilai prestasi, kepraktisan serta kesesuaian Nissan KICKS e-POWER untuk kegunaan operasi barisan hadapan. Hasil penilaian ini akan menyokong usaha berterusan kami dalam mengenal pasti penyelesaian mobiliti yang paling sesuai bagi memenuhi keperluan operasi Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif ETCM Christopher Tan berkata, teknologi e-POWER dibangunkan bagi menjadikan pengalaman pemanduan elektrik lebih mudah diakses tanpa menjejaskan kemudahan penggunaan harian.

“Di Nissan, kami percaya inovasi terbaik ialah inovasi yang memenuhi keperluan dunia sebenar. Nissan e-POWER dibangunkan untuk menjadikan pengalaman pemanduan berelektrifikasi lebih mudah diakses dengan menawarkan pengalaman pemanduan seperti kenderaan elektrik (EV), tanpa memerlukan pengecasan luaran serta menghapuskan kebimbangan terhadap jarak perjalanan.

“Menerusi program penilaian ini, kami berharap Nissan KICKS e-POWER dapat menunjukkan potensinya untuk menyokong pelbagai aplikasi kenderaan armada, termasuk bagi kegunaan perkhidmatan barisan hadapan,” katanya.

Nissan KICKS e-POWER menggunakan teknologi e-POWER proprietari Nissan yang menggerakkan kenderaan sepenuhnya melalui motor elektrik, manakala enjin petrol berfungsi sebagai penjana elektrik untuk mengecas bateri tanpa memacu roda secara langsung.

Teknologi itu membolehkan pengguna menikmati pengalaman pemanduan seperti kenderaan elektrik tanpa memerlukan infrastruktur pengecasan luaran, di samping mengekalkan kemudahan mengisi minyak seperti kenderaan konvensional.

Menurut ETCM, program penilaian itu mencerminkan komitmen syarikat untuk menilai bagaimana teknologi kenderaan berelektrifikasi dapat menyokong keperluan operasi armada sektor awam dalam keadaan penggunaan sebenar.

CATEGORIES
Share This