SSM, INSKEN PERLUAS AKSES MAKLUMAT PENDAFTARAN DAN PEMATUHAN PERNIAGAAN

SSM, INSKEN PERLUAS AKSES MAKLUMAT PENDAFTARAN DAN PEMATUHAN PERNIAGAAN

KUALA LUMPUR,. Sebanyak 229,656 perniagaan didaftarkan di bawah Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) setakat 30 Sept.

Jumlah itu termasuk 145,270 perniagaan milik usahawan kumpulan B40, 83,347 pelajar sepenuh masa dan 1,039 warga emas.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSM Rezy Izwan Ramly berkata kerjasama dengan Institut Keusahawanan Negara Bhd (INSKEN) menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini akan memperluas penyampaian maklumat berkaitan pendaftaran dan pematuhan perniagaan kepada komuniti usahawan.

“Pemeteraian MoU ini akan membuka lebih banyak peluang kepada SSM untuk memperluas penyampaian maklumat berkaitan pendaftaran dan pematuhan perniagaan kepada komuniti usahawan, sekali gus meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjalankan perniagaan secara sah dan teratur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata SSM turut menyediakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan masyarakat menceburi bidang keusahawanan termasuk SPPP yang membolehkan golongan layak mendaftarkan perniagaan secara percuma.

Bermula 1 Jun, tempoh pendaftaran di bawah skim itu dilanjutkan dari satu tahun kepada dua tahun dan SSM juga memperkenalkan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma Warga Emas (SPPWE) sebagai kategori baharu yang menawarkan pendaftaran percuma bagi tahun pertama.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN Datuk Mustaffa Kamil Ayub dalam kenyataan sama berkata kerjasama itu dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendaftaran perniagaan selain membantu usahawan mendapatkan maklumat mengenai inisiatif dan bantuan kerajaan.

“Pendaftaran perniagaan bukan sahaja menjadi asas kepada pengurusan perniagaan yang lebih teratur, malah membantu memastikan usahawan dapat dikenal pasti dan dihubungkan dengan maklumat, inisiatif serta bantuan kerajaan yang bersesuaian bagi menyokong perkembangan perniagaan mereka,” katanya.

MoU yang ditandatangani Rezy Izwan dan Mustaffa Kamil itu juga memperkukuh pembangunan keusahawanan menerusi perkongsian kepakaran, penyampaian maklumat serta pelaksanaan program dan aktiviti di seluruh negara.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Kawal Selia dan Penguatkuasaan) SSM Norhaiza Jemon serta Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN Viviantie Sarjuni.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This