Sindiket judi berselindung di sebalik premis perniagaan sah – PDRM,

Sindiket judi berselindung di sebalik premis perniagaan sah – PDRM,

KUALA LUMPUR,. Sindiket perjudian dalam talian dan nombor ekor tanpa lesen dikesan berselindung di sebalik premis perniagaan yang sah termasuk kafe, kedai runcit dan kedai telekomunikasi, bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar berkata kegiatan itu terbongkar menerusi Ops Dadu Khas, yang dilaksanakan di seluruh negara pada 30 Oktober dan 1 November.

Beliau berkata sebanyak 201 premis diserbu dalam operasi itu, dengan 282 individu berusia antara 20 hingga 65 tahun ditahan, kerana disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian berkenaan.

Daripada jumlah itu, 229 ialah lelaki manakala 53 wanita termasuk 59 warga asing dari Indonesia, Myanmar, Nepal dan Bangladesh yang dipercayai diambil bekerja oleh sindiket tempatan sebagai penjaga premis.

Beliau berkata polis turut mengenal pasti beberapa sindiket perjudian dalam talian antaranya Winbox dan Alibaba dan sedang mengesan ketua-ketua sindiket terbabit untuk tindakan lanjut.

Kumar berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4A(a), Seksyen 4B(a) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, selain Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Polis turut menjalankan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA),” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kumar berkata sindiket perjudian dalam talian boleh beroperasi secara berpindah-randah, kerana hanya memerlukan kemudahan Internet dan Wi-Fi, untuk menjalankan kegiatan serta transaksi mereka.

Beliau berkata polis akan mencadangkan supaya bekalan elektrik ke semua 201 premis yang diserbu dipotong selepas siasatan selesai, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

Selain itu, polis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menurunkan iklan perjudian dalam talian yang disebarkan menerusi media sosial.

Beliau berkata operasi membanteras kegiatan perjudian akan diteruskan dari semasa ke semasa dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu usaha berkenaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This