Ramanan cadang tambah peruntukan TEKUN untuk usahawan kaum India
KUALA LUMPUR,. Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan mencadangkan supaya peruntukan Skim Program Pembangunan Usahawan Malaysia India (SPUMI) Tabung Ekonomi Kumpulan Niaga (TEKUN) Nasional yang berjumlah RM30 juta, ditambah seiring dengan cabaran semasa.
Beliau berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, yang berjanji akan membawa perkara tersebut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pada masa sama, Datuk Ewon juga meminta saya melihat pelbagai keperluan lain yang boleh memberi manfaat kepada kaum India, khususnya di SME Corporation Malaysia (SME Corp), Suruhanjaya Koperasi dan agensi lain di bawah kementerian.
“Saya faham ramai usahawan memerlukan sokongan dan bantuan. Kita akan cuba bantu yang terbaik,” katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Selasa.
Terdahulu, Ramanan mengadakan perjumpaan bersama Ewon bagi membincangkan pelbagai topik dan program, serta rancangan hala tuju Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi tahun ini.
Beliau berkata pertemuan tersebut merupakan komitmen untuk kerjasama penuh sinergi bagi memaksimumkan fungsi dan peranan kementerian, demi memajukan sektor usahawan dan koperasi.
“Ia juga mencerminkan semangat kolaboratif yang akan menjadi pendorong utama bagi pembangunan ekonomi dan keusahawanan negara.
“Semoga tugas ini menjadi wadah kekuatan dan tunjang baharu dalam menggerakkan KUSKOP, untuk terus berbakti kepada masyarakat sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
— BERNAMA