
PKS Malaysia masih ketinggalan dalam pendigitalan perniagaan – Gobind
KUALA LUMPUR,. Kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia masih ketinggalan berbanding syarikat besar dalam perjalanan pendigitalan mereka, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Beliau berkata bagi menangani isu ini, kementerian berusaha keras melalui inisiatif seperti Inisiatif Pendigitalan Perniagaan (BDI), dilancarkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia baru-baru ini untuk membantu PKS mempercepat penggunaan teknologi digital dalam operasi mereka.
“Kerajaan MADANI turut memperuntukkan RM50 juta untuk geran padanan digital bagi PKS dan geran digital untuk vendor.
“Syarikat teknologi global yang berpangkalan di Malaysia seperti Microsoft dan Alibaba Cloud bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk membantu PKS melalui pelbagai program,” katanya dalam ucapan pada CTOS SME Biz Day 2025 hari ini.
Gobind berkata kerajaan juga komited untuk memastikan PKS diberi keutamaan dalam mendepani cabaran geopolitik semasa, dengan dana diperuntukkan untuk tujuan ini seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam.
Beliau berkata inisiatif kerajaan sentiasa dirangka untuk menyediakan PKS dengan sumber, pengetahuan dan sokongan yang diperlukan bagi mengemudi landskap digital dengan berkesan.
“Visi kami ialah mewujudkan Malaysia yang diperkasakan secara digital – apabila setiap perniagaan, tanpa mengira saiz, dapat berkembang dalam ekosistem digital negara kita.
“Kami komited untuk menerapkan persekitaran yang menyokong inovasi, penggunaan digital dan seterusnya membina Malaysia sebagai negara digital yang kukuh,” katanya.
Semalam, Anwar mengumumkan kerajaan bersetuju meningkatkan jaminan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) khusus untuk membantu pengeksport PKS yang terjejas susulan pengumuman tarif Amerika Syarikat (AS) bagi mendapatkan pinjaman.
Kerajaan turut menyediakan peruntukan tambahan berjumlah RM50 juta kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi menyegerakan usaha penerokaan pasaran baharu melalui penglibatan dalam ekspo dan pameran perdagangan antarabangsa serta membuat padanan perniagaan dengan pembeli luar negara.
— BERNAMA