PKP seluruh negara mulai Rabu – Muhyiddin

PKP seluruh negara mulai Rabu – Muhyiddin

KUALA LUMPUR,. Malaysia sekali lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula Rabu ini hingga 7 Jun sebagai usaha untuk membendung penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) mengumumkan pelaksanaan PKP itu selepas Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikannya di Putrajaya hari ini.

“Dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 kes dan 37,396 kes aktif dengan 1,700 kes kematian dilaporkan setakat 10 Mei 2021, Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga COVID-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional.

“Kewujudan varian baharu dengan kadar jangkitan lebih tinggi, kekangan ke atas kapasiti sistem kesihatan awam semakin meruncing dan kelemahan pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat menuntut kerajaan untuk mengambil tindakan lebih drastik bagi mengelak negara terjerumus dalam malapetaka kesihatan lebih parah,” katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan pelaksanaan PKP itu, Muhyiddin berkata antara larangan dan arahan yang perlu dipatuhi termasuk tiada ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang minggu ini.

“Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh membuatkan lebih 1,000 jemaah manakala hanya 20 orang bagi masjid dan surau yang berkapasiti kurang daripada 1,000 jemaah.

“Had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat,” katanya.

Perdana Menteri berkata operasi rumah ibadah bukan Islam juga akan diperketatkan dan prosedur operasi standard (SOP) mengenainya akan ditetapkan oleh Kementerian Perpaduan Negara.

Selain itu, Muhyiddin berkata majikan diwajibkan melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) dengan kehadiran tidak lebih 30 peratus kakitangan pengurusan pada setiap masa.

Bagi sektor awam, penentuan BDR adalah berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara dari semasa ke semasa.

Mengenai bilangan orang di dalam kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing, Muhyiddin berkata ia dihadkan kepada tiga orang termasuk pemandu, manakala bilangan orang dalam kenderaan membawa barangan serta rantaian aktiviti ekonomi/industri adalah berdasarkan lesen pendaftaran kenderaan perdagangan.

“Bilangan orang yang dibenarkan di dalam pengangkutan awam mestilah mematuhi penjarakan fizikal dan mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.

Sepanjang tempoh PKP ini, Perdana Menteri berkata makan di dalam premis makanan tidak dibenarkan melainkan penjualan makanan secara pandu lalu serta take-away atau bawa pulang.

Mengumumkan semua institusi pendidikan ditutup, Muhyiddin berkata pengecualian diberikan kepada penuntut yang akan menduduki peperiksaan antarabangsa manakala pusat asuhan kanak-kanak, tabika, taska dan tadika dibenarkan beroperasi mengikut SOP ditetapkan bagi membantu urusan kerja ibu bapa atau penjaga.

Katanya larangan rentas daerah dan rentas negeri kecuali untuk hal-hal kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

Muhyiddin berkata semua bentuk perhimpunan sosial termasuk kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis doa selamat dan tahlil, majlis makan malam, majlis sambutan hari jadi serta majlis-majlis rasmi kerajaan dan swasta tidak dibenarkan.

Sebarang bentuk seminar, persidangan dan mesyuarat secara bersemuka juga tidak dibenarkan, katanya.

Perdana Menteri berkata bagaimanapun majlis akad nikah dibenarkan dengan jumlah kehadiran dan SOP yang ditentukan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri bagi orang Islam serta Jabatan Pendaftaran Negara bagi orang bukan Islam.

Selain itu, semua aktiviti sukan dan rekreasi adalah dilarang kecuali sukan dan rekreasi individu di kawasan terbuka seperti joging, berbasikal dan senaman dengan mengamalkan penjarakan fizikal.

Muhyiddin berkata sepanjang tempoh PKP itu, langkah-langkah khusus yang sedang dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan diteruskan.

Beliau berkata sepanjang tempoh PKP, semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dan SOP terperinci bagi semua larangan serta arahan yang terkandung dalam PKP kali ini akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus menggunakan sistem Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE) untuk memantau premis dan kawasan hotspot COVID-19 serta mengambil tindakan susulan seperti yang diputuskan.

Muhyiddin dalam pada itu menggesa rakyat supaya menghadapi gelombang ketiga COVID-19 dengan penuh disiplin kerana pandemik itu disifatkan lebih ganas serta kritikal, dan hanya diri sendiri boleh menjaga nyawa sendiri selain ketentuan Ilahi.

“Yang terbaik ialah duduk di rumah atau stay at home untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19. Kita telah berjaya melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19 dalam gelombang pertama dan kedua penularan wabak ini.

“Kita masih belum menang. Disiplin kendiri ini bukanlah sukar untuk dilaksanakan. Elakkan tempat yang sesak, jaga penjarakan fizikal, sentiasa memakai pelitup muka di tempat awam dan bersihkan tangan anda pada setiap masa di samping mengamalkan kebersihan kendiri yang baik.

“Insya-Allah, dengan pertolongan Allah SWT kita akan berjaya menewaskan virus COVID-19,” katanya.

PKP seluruh negara pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac hingga 3 Mei 2020.

PKP 2.0 dilaksanakan ke atas enam negeri melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah dari 13 Jan hingga 26 Jan sebelum dilanjutkan untuk Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang sehingga 4 Mac lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)