Peruntukan KPWKM, RM4.355 bilion di bawah Belanjawan 2027

Peruntukan KPWKM, RM4.355 bilion di bawah Belanjawan 2027

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerima peruntukan RM4.355 bilion di bawah Belanjawan 2027 bagi memperkukuh perlindungan sosial, memperluas perkhidmatan penjagaan serta meningkatkan kesejahteraan golongan rentan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata peruntukan itu merangkumi RM4.19 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM157.03 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

Beliau berkata, peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan wanita, kanak-kanak, keluarga, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan golongan rentan lain.

Di bawah Belanjawan 2027, bantuan khusus warga emas melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ditingkatkan kepada RM1.3 bilion, yang bakal memanfaatkan hampir 200,000 penerima di seluruh negara.

Selain itu, kadar cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan penjagaan warga emas dikurangkan daripada lapan peratus kepada enam peratus, manakala pengecualian penuh diberikan bagi yuran penjagaan sehingga RM96,000 setahun bagi meringankan beban kewangan keluarga.

Bagi golongan OKU, had pendapatan bulanan untuk melayakkan seseorang menerima Elaun Pekerja OKU (EPOKU) dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000, sekali gus membolehkan lebih ramai pekerja mendapat manfaat berkenaan.

Bantuan Penjagaan OKU Terlantar dan Pesakit Kronik turut dinaikkan daripada RM500 kepada RM600 sebulan.

Pada masa sama, sebanyak 15 premis Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) akan dinaik taraf menjadi pusat terapi khusus bagi meningkatkan akses kepada perkhidmatan intervensi awal dan sokongan, khususnya untuk kanak-kanak serta individu dengan Sindrom Down.

Belanjawan itu turut memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi penjagaan negara bagi memenuhi peningkatan keperluan penjagaan profesional susulan pertambahan penduduk warga emas.

KPWKM menyasarkan melahirkan 50,000 penjaga berkemahiran menjelang 2030 menerusi Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026-2030.

Lebih RM40 juta melalui HRD Corp diperuntukkan bagi melatih 8,000 tenaga kerja penjagaan warga emas, manakala 3,000 penjaga baharu untuk OKU akan diberikan latihan kemahiran khusus.

Dua Pusat Kepakaran Penjagaan Bersepadu (NICE) turut akan dibangunkan di Pulau Pinang dan Sarawak bagi menyokong latihan, penyelidikan serta perkhidmatan penjagaan warga emas.

Dalam usaha memperkasa ekonomi wanita, kerajaan menyediakan RM200 juta melalui Geran Sejahtera MADANI bagi membekalkan peralatan dan latihan kepada 40,000 penerima, khususnya wanita.

Inisiatif itu bertujuan membantu golongan yang mempunyai kemahiran tetapi kekurangan modal mendapatkan peralatan untuk menjana pendapatan dan membina kehidupan lebih berdikari.

Bagi memperkukuh kesejahteraan keluarga, Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAi) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut menyediakan rawatan kesuburan mampu milik kepada 2,000 pasangan yang layak, dengan pendapatan isi rumah di bawah RM10,000 sebulan dan isteri berusia kurang daripada 37 tahun.

Skop pelepasan cukai individu juga diperluas untuk merangkumi kos penjagaan selepas bersalin serta perbelanjaan penjagaan ibu bapa dan datuk atau nenek.

Nancy berkata, kementerian akan terus memperkukuh penyelarasan antara agensi kerajaan, kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti bagi memastikan bantuan sampai kepada kumpulan sasar, termasuk penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan sosial bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan, tetapi turut melibatkan usaha melindungi hak, memperkasa potensi dan membuka peluang kepada rakyat untuk hidup berdikari serta bermaruah.

CATEGORIES
Share This