Pelanggan ada dua pilihan bagi bantuan pembayaran bersasar – AIBIM

Pelanggan ada dua pilihan bagi bantuan pembayaran bersasar – AIBIM

KUALA LUMPUR,. Para peminjam daripada kategori B40 yang merupakan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan bakal penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta perusahaan mikro mempunyai dua pilihan berkaitan bantuan pembayaran bersasar.

Menurut Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dua pilihan itu adalah menangguhkan ansuran bulanan selama tiga bulan atau mengurangkan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

“Mengenai kos perjanjian baharu, pendekatannya adalah berbeza antara bank. Kami menggalakkan pelanggan menghubungi bank mereka untuk maklumat lebih lanjut,” katanya kepada Bernama.

Persatuan itu menjelaskan bantuan itu akan disediakan bagi pembiayaan kemudahan yang diluluskan sebelum 1 Okt, 2020 dan tidak tertunggak melebihi 90 hari pada tarikh permohonan bantuan dibuat.

Menurutnya, penambahbaikan bantuan pembayaran bersasar turut diberikan kepada pelanggan daripada kumpulan M40 yang berdaftar dalam pangkalan data Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Mereka hanya perlu membuat pengisytiharan kendiri mengenai pengurangan pendapatan mereka dan/atau isi rumah mereka akibat pandemik COVID-19 untuk mendapatkan bantuan pengurangan ansuran bulanan, katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, bagi pembiayaan berkadar tetap, pelanggan institusi perbankan Islam masih perlu menandatangani kontrak baharu menurut keperluan syariah.

Menurut AIBIM, bank-bank ahli AIBIM bersedia dan memberi sepenuh keyakinan kepada para pelanggan bahawa bantuan adalah tersedia dengan proses yang mudah untuk para pelanggan yang terkesan.

Para pelanggan institusi perbankan Islam boleh menghubungi pihak bank masing-masing untuk membuat permohonan bantuan pembayaran bersasar bermula 23 Nov, 2020 sehingga 30 Jun, 2021.

AIBIM juga menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi memutuskan rangkaian COVID-19 selain memastikan semua komunikasi dan transaksi perbankan adalah dari dan melalui sumber yang sahih.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)