PDRM TUNGGU ARAHAN AGC BERHUBUNG SIASATAN DAKWAAN ISMAIL DIPAKSA TANDATANGANI PROKLAMASI

PDRM TUNGGU ARAHAN AGC BERHUBUNG SIASATAN DAKWAAN ISMAIL DIPAKSA TANDATANGANI PROKLAMASI

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) — Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung siasatan dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen memaklumkan kertas siasatan dirujuk kepada AGC pada 29 Sept lepas untuk penelitian dan arahan lanjut.

Menurut kementerian itu, tindakan atau siasatan lanjut oleh PDRM bergantung pada hasil penelitian dan arahan AGC.

“PDRM akan mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan KDN memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang tanpa memihak kepada mana-mana pihak,” katanya.

Kementerian itu menjawab pertanyaan Cha Ke Chin (PH-Rasah) yang ingin tahu perkembangan siasatan laporan polis yang dibuat Ismail pada 8 Sept lepas serta tindakan yang telah dan akan diambil terhadap pihak terlibat.

KDN memaklumkan empat individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan sejak laporan itu dibuat.

Pada 9 Sept lepas, Ismail mendakwa beliau dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi bagi memecat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Sementara itu, kerajaan menyasarkan pendaftaran semua pelarian di bawah sistem domestik Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) dapat diselesaikan menjelang 31 Dis 2029.

KDN memaklumkan sebanyak 4,010 individu telah didaftarkan dalam fasa pertama program itu setakat Jun lepas, sejak pelaksanaannya pada 1 Jan 2026 dan daripada jumlah itu, 4,008 adalah warga Myanmar manakala masing-masing seorang warga Sudan serta Syria.

Kementerian itu memaklumkan bahawa 400 individu telah dipindahkan ke Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka di Bidor, Perak untuk menjalani proses penentuan status manakala status pelarian bagi 78 orang diluluskan.

Menurut KDN, fasa kedua DPP akan melibatkan pendaftaran individu di luar depot termasuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dan individu yang mendakwa sebagai pelarian.

“Berdasarkan perancangan yang telah diumumkan, fasa ini dijadualkan bermula pada separuh kedua tahun ini dengan sasaran keseluruhan proses pendaftaran diselesaikan pada 31 Dis 2029.

“Pelaksanaan ini merangkumi pengumpulan maklumat peribadi dan biometrik, tapisan keselamatan serta proses penentuan dan pengesahan status oleh kerajaan,” menurut kementerian berkenaan.

KDN memaklumkan perkara itu bagi menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang meminta kementerian berkenaan menyatakan status terkini pelaksanaan DPP, dan sejauh mana program tersebut dapat meredakan keresahan rakyat mengenai kebanjiran warga asing di Malaysia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This