Mohd Ali Rustam diangkat sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka

Mohd Ali Rustam diangkat sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka

MELAKA,. Kerajaan negeri Melaka dan seluruh rakyat negeri ini mengucapkan tahniah kepada Tun Mohd Ali Rustam yang diangkat sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka ketujuh, kata Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata detik bersejarah itu cukup bermakna buat negeri Melaka, lebih-lebih lagi buat julung kalinya seorang anak jati Melaka diangkat kedudukan yang tertinggi sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka.

Katanya kerajaan negeri dan seluruh rakyat menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Keenam Tun Dr Mohd Khalil Yaakob atas jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan selama kira-kira 16 tahun kepada negeri ini.

“Semoga Allah SWT terus melimpahkan rahmat bahagia dan kurnia-Nya kepada Negeri Melaka,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya semalam.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam berkenan mengurniakan Watikah Pelantikan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka ketujuh kepada Mohd Ali pada majlis di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun kepada Mohd Ali, 70, berasal dari Kampung Bukit Katil di sini.

Mohd Ali dijadual mengangkat sumpah jawatan Yang Dipertua Negeri Melaka di Balai Istiadat, Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, pagi ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )