MMA harap penyelesaian jangka panjang isu pegawai kesihatan kontrak

MMA harap penyelesaian jangka panjang isu pegawai kesihatan kontrak

KUALA LUMPUR,. Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mematuhi dengan rapi segala keputusan kerajaan berhubung isu pegawai kesihatan kontrak, yang dijangka akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet Rabu ini.

Pengerusi bahagian pelatih, pegawai perubatan dan pakar perubatan (SCHOMOS) Dr Vijay Ganasan berkata persatuan itu telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan minggu lepas dan dimaklumkan bahawa isu itu akan dibincangkan semasa mesyuarat kabinet nanti.

Beliau berkata pihaknya juga menggesa kerajaan menampilkan satu penyelesaian jangka panjang semasa di persidangan parlimen nanti.

“Saya rasa mesyuarat dengan Menteri Kesihatan baru-baru ini memberikan hasil yang positif berbanding mesyuarat sebelumnya, kita telah dimaklumkan bahawa isu berhubung sistem kontrak itu akan dibawa ke mesyuarat kabinet Rabu ini.

“Kita akan menunggu pengumumannya, diharapkan ada resolusi berhubung perkara ini dan sebarang tindakan berikutnya akan diambil berdasarkan kepada keputusan kerajaan,” katanya dalam persidangan media secara maya pada Isnin.

“Saya rasa kita tidak mahu lanjutan setahun sebagai penyelesaian kepada masalah ini. Ia sama seperti merawat penyakit, kita bukan hanya terima begitu sahaja, sebaliknya kita perlu lihat ia dengan rapi, dan merawat ia dengan baik.

“Begitu juga dengan sistem kesihatan negara, bagi merawatnya kita perlukan penyelesaian jangka panjang dan dengan memberikan jawatan tetap kepada pegawai kesihatan kontrak, ia akan memberi manfaat bukan sahaja kepada individu tapi juga kepada keseluruhan sistem kesihatan negara,” katanya.

Awal bulan ini sekumpulan doktor kontrak di Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan pergerakan #HartalDoktorKontrak, sebagai rancangan untuk mogok sekurang-kurangnya sehari pada 26 Julai bagi menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung jawatan tetap dalam sektor kerajaan bagi kira-kira 23,000 pegawai kesihatan kontrak di seluruh negara.

Bagaimanapun MMA berkata kumpulan itu tidak bersekutu dengannya, tidak bersetuju dengan rancangan mogok berkenaan, namun menggerakkan protes “Code Black” secara dalam talian dari 1 hingga 12 Julai sebagai tanda sokongan pegawai kesihatan berkenaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)