MANGSA BANJIR DI PERAK, SELANGOR CATAT PENURUNAN, NEGERI SEMBILAN PULIH SEPENUHNYA

MANGSA BANJIR DI PERAK, SELANGOR CATAT PENURUNAN, NEGERI SEMBILAN PULIH SEPENUHNYA

KUALA LUMPUR,. Situasi banjir di Perak dan Selangor terus menunjukkan pemulihan petang ini, dengan jumlah keseluruhan mangsa menurun kepada 2,334 orang daripada 683 keluarga berbanding 2,368 mangsa daripada 691 keluarga pagi tadi, manakala Negeri Sembilan pulih sepenuhnya.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir di lima daerah menurun kepada 488 orang daripada 166 keluarga yang berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 499 orang daripada 169 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan sebuah PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Sagor dalam daerah Perak Tengah yang menempatkan 22 mangsa, ditutup sepenuhnya pada 3 petang tadi, manakala SK Tanjung Belanja kekal dengan 70 mangsa daripada 35 keluarga.

Selain itu, jumlah mangsa di PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai di Manjung kekal 131 orang daripada 39 keluarga, Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan di Hilir Perak (97 mangsa, 31 keluarga), manakala di Larut, Matang dan Selama seramai 10 orang daripada empat keluarga masih berlindung di PPS SK Batu Hampar.

Di Kerian pula, 180 mangsa daripada 57 keluarga termasuk 12 mangsa tanah runtuh daripada tiga keluarga, masih ditempatkan di PPS SK Bukit Merah dan SK Parit Haji Aman.

Di SELANGOR, portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa berkurangan sedikit kepada 1,846 orang daripada 517 keluarga, berbanding 1,869 orang daripada 522 keluarga pagi tadi.

PPS SK Dato’ Maharaja Lela menempatkan mangsa paling ramai iaitu 401 orang, diikuti SK Parit Mahang (365), SK Sultan Abdul Aziz (222), Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (216), Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (139), SK Rantau Panjang (134) dan SRA Batu 8 Ijok (120).

Turut beroperasi ialah PPS SK Jaya Setia yang menempatkan 98 mangsa, Kafa Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (66), Dewan Orang Ramai Seri Harmoni (40), SK Batu Arang (25) serta Balai Raya Kampung Sungai Kelambu (20).

Sementara itu di NEGERI SEMBILAN, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri memaklumkan PPS SK Jimah ditutup sepenuhnya pada 2 petang tadi susulan keadaan banjir yang pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan beberapa kawasan di negeri itu akan mengalami hujan dan ribut petir pada sebelah petang, sebelum cuaca kembali baik tanpa hujan pada waktu malam.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This