Malaysia promosi TMM2026 kepada pelancong Finland

Malaysia promosi TMM2026 kepada pelancong Finland

KUALA LUMPUR,. Kedutaan Malaysia di Helsinki, Finland melancarkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dengan tema “Malaysia Truly Asia – Your Next Tropical Escape”.

Acara yang berlangsung pada Jumaat itu memberi tumpuan kepada kempen pelancongan negara Malaysia dan matlamatnya untuk mengukuhkan hubungan pelancongan Malaysia-Finland.

Ia juga bertujuan untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi yang pelbagai, mampan dan tidak dapat dilupakan, menurut Kedutaan Malaysia dalam satu kenyataan.

Dalam ucapan pembukaan, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Helsinki, Al-Fadil Adam menekankan bahawa Finland merupakan rakan kongsi penting dan semakin berkembang bagi sektor pelancongan Malaysia.

“Kami berbangga kerana Malaysia telah menjadi destinasi yang memenuhi minat ini, menawarkan bukan sahaja iklim tropika dan hutan hujan asli, tetapi juga bandar-bandar yang meriah, tapak Warisan Dunia UNESCO, budaya yang pelbagai dan sajian terkenal di peringkat antarabangsa,” katanya pada majlis pelancaran itu.

Al-Fadil menambah bahawa pelancong Finland menghargai alam semula jadi, budaya dan keramahan rakyat Malaysia, terutamanya kedudukan negara sebagai destinasi tropika yang mampan.

Beliau berharap kempen TMM2026 akan terus mengeratkan hubungan Malaysia-Finland dan menggalakkan lebih ramai pelancong Finland untuk merasai pengalaman di Malaysia secara langsung.

“Pelancong Finland mempunyai cita rasa tinggi dan sifat ingin tahu, mencari pengalaman autentik, alam semula jadi, kesejahteraan dan pengembaraan santai,” katanya sambil menyatakan bahawa Finland kekal sebagai pasaran penting dan berkembang bagi Malaysia.

Acara berkenaan menarik penyertaan media Finland, profesional pelancongan dan rakan kongsi industri. Ia berfungsi untuk mengetengahkan kempen pelancongan nasional Malaysia serta matlamatnya di rantau Nordik.

Kedutaan itu berkata kempen TMM2026 dibina atas legasi jenama “Malaysia Truly Asia” dan memperkenalkan maskot baharu, Wira dan Manja, sepasang maskot beruang matahari yang melambangkan warisan semula jadi Malaysia.

Majlis pelancaran turut menampilkan pembentangan kempen, majlis resepsi bertemakan Malaysia dan perkongsian pandangan oleh pelancong Finland.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This