Majlis Perundingan Gig, Dasar Sumber Manusia keutamaan perkasa ekosistem pekerjaan

Majlis Perundingan Gig, Dasar Sumber Manusia keutamaan perkasa ekosistem pekerjaan

PUTRAJAYA,. Penubuhan Majlis Perundingan Gig dan Tribunal Gig serta penggubalan Dasar Sumber Manusia Negara 2026–2035 adalah antara keutamaan untuk memperkasakan ekosistem pekerjaan negara dalam tempoh dua tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan.

Beliau berkata penubuhan Majlis Perundingan Gig dan Tribunal Gig berkenaan akan berfungsi sebagai mekanisme tadbir urus dan penyelesaian pertikaian yang adil, cekap dan berfokus kepada realiti pekerjaan gig.

Ramanan berkata penggubalan Dasar Sumber Manusia bertujuan memastikan kebajikan pekerja, terutama dari aspek perlindungan, keselamatan, peluang pekerjaan mahupun pembangunan kemahiran dapat diperkasakan.

“Sebagai Menteri Sumber Manusia, penegasan utama saya adalah untuk memastikan kebajikan pekerja sentiasa menjadi keutamaan, sama ada dari aspek perlindungan, keselamatan, peluang pekerjaan mahupun pembangunan kemahiran.

“Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berfungsi untuk semua pekerja Malaysia, tanpa mengira kaum, latar belakang atau sektor pekerjaan,” katanya dalam sidang media selepas sesi clock in dan taklimat bersama-sama pengurusan tertinggi KESUMA di sini hari ini.

Bagi penubuhan Majlis Perundingan Gig dan Tribunal Gig, Ramanan berkata satu pasukan interim kini ditubuhkan untuk memastikan penubuhan majlis itu akan dijayakan menjelang suku pertama 2026.

Beliau berkata keutamaan lain bagi KESUMA ialah reformasi undang-undang buruh, pelaksanaan Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Buruh Paksa 2.0 (2026–2030) serta pengenalan mekanisme levi berperingkat.

“Saya memberikan komitmen sepenuhnya untuk bekerja rapat dengan pengurusan tertinggi kementerian, warga KESUMA, jabatan serta agensi-agensi di bawah kementerian bagi memastikan dasar dan inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat.

“Dengan kerjasama semua pihak, kita akan terus memperkukuh sistem pekerjaan negara agar lebih berdaya tahan, mampan dan berpaksikan kebajikan pekerja,” katanya.

Ramanan turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan amanah yang diberi untuk menerajui KESUMA.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Steven Sim, Menteri Sumber Manusia terdahulu, atas usaha serta inisiatif penting yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau,” katanya.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This