
Lelaki maut tercampak dalam longkang selepas dirempuh kenderaan
SHAH ALAM,. Seorang lelaki maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kenderaan sehingga tercampak ke dalam longkang sedalam dua meter di Jalan Kapar, Batu 5, Klang awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian itu daripada orang awam pada 3.23 pagi.
“Sebanyak tujuh pegawai dan anggota berserta satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar digegaskan ke lokasi bagi membantu menyelamatkan mangsa yang berusia lingkungan 30-an,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata anggota bomba mengangkat lelaki itu dengan menggunakan pengusung dan dia kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata mangsa yang dipercayai warga Bangladesh itu dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kejadian langgar lari, kira-kira 3 pagi.
“Berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku apabila sebuah SUV berwarna hitam yang bergerak dari arah Klang menghala ke Kapar dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh seorang pejalan kaki di bahu jalan.
“Akibat pelanggaran itu, lelaki itu tercampak ke dalam parit manakala pemandu kenderaan terbabit bertindak melarikan diri. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian perut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Vijaya Rao berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Ahmad Fadzli Abdullah melalui talian 017-5843860 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
–BERNAMA
