
KPKM terima kunjungan hormat Timbalan Menteri Parlimen Jepun bagi Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan
PUTRAJAYA,. Timbalan Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan (KPKM) Datuk Chan Foong Hin menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Menteri Parlimen Jepun bagi Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan, TYT Manabu Nagai di Wisma Tani, Putrajaya semalam.
Perjumpaan itu turut dihadiri oleh Duta Jepun ke Malaysia, TYT Noriyuki Shikata.
Lawatan tersebut menekankan kerjasama erat dan perkongsian kukuh yang berterusan antara Malaysia dan Jepun, khususnya dalam bidang hortikultur, florikultur dan pembangunan pertanian.
Hubungan perdagangan pertanian antara kedua-dua negara kekal kukuh, dengan nilai perdagangan dua hala sebanyak RM10.17 bilion dari Januari hingga Oktober 2025.
Angka ini mencerminkan peranan Jepun sebagai salah satu rakan strategik utama Malaysia dalam memperkukuh rantaian bekalan makanan global.
Lawatan Nagai ke KPKM bertujuan menyusul jemputan Kerajaan Jepun kepada Malaysia untuk menyertai International Horticultural Expo 2027, atau lebih dikenali sebagai GREEN×EXPO 2027 yang akan diadakan di Yokohama, Jepun.
Expo bertemakan “Scenery of the Future for Happiness” ini bertujuan untuk mempamerkan inovasi pertanian yang mempromosikan kelestarian alam sekitar dan pembangunan mampan. Ia terbuka kepada pemain industri daripada sektor hortikultur, buah-buahan dan teknologi pertanian digital.
Chan menyatakan penghargaan beliau atas jemputan tersebut dan turut mengucapkan terima kasih kepada Jepun atas penyertaan aktifnya dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang lalu.
Beliau turut menjemput Jepun untuk menyertai MAHA 2026, yang akan diadakan dari 28 Ogos hingga 6 September ini di MAEPS Serdang, bertemakan “Creating Value for Food Security.”
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Timbalan Setiausaha Agung (Dasar) KPKM Datuk Seri Norazman Ayob, serta pegawai kanan kementerian.
