‘Kita perangi Covid-19 habis-habisan’ – Annuar

PUTRAJAYA ,. Kementerian Wilayah Persekutuan akan ‘memerangi’ wabak Covid-19 habis-habisan bermula pukul 9 pagi, Sabtu ini.

Pengerusi Jawatan Kuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKN WP), Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, langkah yang akan dilakukan itu adalah proses nyahkuman atau disinfeksi di tempat-tempat awam termasuk masjid, jalan raya, lorong, dewan dan sebagainya.

“Penguasa dan kerajaan tempatan akan menjalankan gerakan insentif dan besar-besaran untuk membuat program menyahkuman dalam bandar dan ia adalah gerakan berskala besar di kawasan tumpuan zon merah.

“Kalau di Kuala Lumpur, zon merah adalah Lembah Pantai dan Titiwangsa. Tetapi ada sedikit kekeliruan, istilah Lembah Pantai yang dimaksudkan adalah persempadanan perkhidmatan kesihatan iaitu melibatkan tiga kawasan parlimen antaranya Lembah Pantai dan Seputeh yang terletak bersebelahan Titiwangsa,” katanya dalam sidang akhbar khas selepas mesyuarat JKKN WP hari ini

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan memberitahu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan proses nyahkuman di keempat-empat kawasan parlimen berkenaan.

Ujar beliau, pihaknya akan menggunakan semua kemudahan awam yang ada termasuk lori semburan yang boleh dibuat dalam skala besar bagi membersihkan semua kawasan.

“Ia bukan foging yang biasa kerana kita kena gunakan bahan yang sesuai dan kaedah yang pelbagai. Penguasa DBKL boleh dibantu oleh bomba atau tentera dan beberapa pihak lain termasuk kontraktor yang telah dipilih untuk buat kerja penyelenggaraan,” katanya sambil menambah perbincangan lanjut dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, operasi untuk memindahkan gelandangan ke lokasi yang dikenal pasti terpaksa ditangguhkan kerana sebahagian daripada mereka dikhuatiri menyebabkan jangkitan kepada penghuni sedia ada.

Bagaimanapun. tegas Annuar, operasi tersebut akan tetap dilaksanakan dan penggunaan kabin akan dilakukan sekiranya penempatan yang ada tidak dapat menampung golongan terbabit. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )