
KEMENTERIAN KOMUNIKASI TELITI PELUANG ANIMASI TEMPATAN TEMBUS PASARAN GLOBAL
PUTRAJAYA,. Usaha memperluas pasaran animasi tempatan ke persada global terus diberi perhatian dengan Kementerian Komunikasi meneliti potensi kerjasama bersama penyedia platform penstriman antarabangsa serta pembangunan harta intelek (IP) baharu.
Kementerian Komunikasi menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan perkara itu antara fokus perbincangan bersama Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS) yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Datuk Bahria Mohd Tamil, semalam.
Perbincangan itu turut memberi tumpuan kepada siaran kandungan animasi di saluran Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dalam usaha memperluas ruang penyiaran karya animasi tempatan.
Menurut hantaran itu, perbincangan itu turut memberi tumpuan kepada siaran kandungan animasi di saluran Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dalam usaha memperluas ruang penyiaran karya animasi tempatan.
Inisiatif berkenaan seiring dengan pengumuman Kerajaan MADANI menerusi Belanjawan 2027 yang memberi penekanan kepada pembangunan 20 IP animasi baharu berpotensi.
“Kerajaan MADANI telah mengumumkan sebahagian daripada inisiatif Belanjawan 2027 adalah pembangunan 20 IP animasi baharu berpotensi dalam memperluas peluang penjanaan pendapatan melalui pengkomersialan watak dan produk berasaskan karya tempatan,” menurut Kementerian Komunikasi.
Hadir sama pada sesi perbincangan itu ialah Ketua Pengarah RTM Datuk Ashwad Ismail, Setiausaha Bahagian Pembangunan Kandungan YM Dr Tunku Latifah Tunku Ahmad dan Ketua Penolong Pengarah Unit Animasi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Mohd Nazrul Shah.
— BERNAMA
