
Kelahiran 12 bayi merdeka ceriakan Hari Kebangsaan di HTA
KUALA LUMPUr,. Ketika rakyat di seluruh negara meraikan Hari Kebangsaan 2026, sebanyak 12 bayi membuka lembaran kehidupan mereka di Hospital Tunku Azizah (HTA) di sini hari ini, termasuk sepasang kembar perempuan.
Kesemua ‘bayi Merdeka’ berkenaan dilahirkan antara tengah malam hingga 12 tengah hari tadi, masing-masing enam bayi lelaki dan perempuan.
Pengarah HTA Dr Shamsul Anuar Kamarudin berkata kelahiran bayi pada Hari Kebangsaan bukan sekadar satu tarikh istimewa, sebaliknya membawa makna lebih besar sebagai simbol kehidupan, harapan dan masa depan negara.
“Setiap kelahiran bukan sekadar angka, tetapi sebuah keluarga, sebuah harapan dan sebuah amanah untuk masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Bayi Merdeka HTA 2026.
Bagi Nor Asyikin Mat Zain, 29, kelahiran anak keduanya pada Hari Kebangsaan menjadi detik istimewa buat keluarganya apabila kedua-dua anaknya dilahirkan pada tarikh yang cukup bermakna.
Nor Asyikin berkata anak sulungnya yang kini berusia empat tahun dilahirkan pada 1 Jan, manakala anak keduanya, bayi lelaki seberat 3.13 kilogram, dilahirkan secara normal pada 5.45 pagi tadi.
“Memang bangga sebab anak pertama lahir pada tahun baharu, manakala adiknya pula lahir pada Hari Kebangsaan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Siti Zulaikha Mohd Jasni, 33, menjadi ibu pertama yang melahirkan bayi pada Hari Kebangsaan tahun ini di HTA apabila bayi lelakinya seberat 2.78 kilogram dilahirkan menerusi pembedahan pada 12.05 tengah malam.
Meskipun lebih awal daripada tarikh jangka bersalin pada 8 Sept, beliau berkata kelahiran itu menjadikan 31 Ogos tarikh yang cukup bermakna buat keluarganya.
Rajeah Amud, 32, pula menyifatkan kelahiran anak sulungnya pada Hari Kebangsaan sebagai satu rezeki apabila bayi perempuan itu dilahirkan secara normal pada 7.55 pagi, walaupun tarikh jangka bersalin sepatutnya pada 8 Sept.
–BERNAMA
