
JKM siap siaga sepenuhnya berdepan Monsun Timur Laut
KUALA LUMPUR,. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menempatkan semua anggota dan kemudahannya dalam keadaan siap siaga sepenuhnya sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya bencana sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 yang lazimnya membawa hujan lebat serta risiko banjir di beberapa negeri.
Sebagai agensi utama yang bertanggungjawab menyelaras pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan kebajikan mangsa bencana, JKM telah melaksanakan pelbagai langkah proaktif bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan.
Langkah ini merangkumi penyimpanan stok bekalan keperluan asas seperti makanan, pakaian, tikar, selimut dan barangan bayi di depoh serta stor bencana negeri, selain menyenaraikan dan memantau semua PPS di seluruh negara bagi memastikan ia berada dalam keadaan lengkap serta sedia diaktifkan pada bila-bila masa.
Selain itu, jabatan tersebut turut melaksanakan latihan kesiapsiagaan dan simulasi pengurusan bencana dengan kerjasama agensi penyelamat serta pihak berkuasa tempatan.
Pasukan sukarelawan termasuk SUKARELA dan Skuad Prihatin juga digerakkan bagi memberikan bantuan di lapangan kepada komuniti yang terjejas.
Bagi meningkatkan kecekapan dan kemudahan capaian, JKM telah memperkenalkan aplikasi mudah alih Info Bencana JKM (MyIBJKM), iaitu platform digital rasmi yang dibangunkan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan bencana secara masa nyata.
Melalui aplikasi ini, mangsa bencana boleh mendaftar secara kendiri sebelum, semasa dan selepas bencana, mengemas kini maklumat peribadi serta ahli keluarga, mencari lokasi PPS berhampiran, dan menguruskan proses daftar masuk serta keluar dari PPS.
Dalam masa yang sama, JKM turut mengingatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada terhadap amaran cuaca dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Jabatan itu menegaskan komitmennya untuk terus mengutamakan kebajikan mangsa bencana dan memastikan bantuan disalurkan tepat pada waktunya, selaras dengan misinya untuk melindungi golongan rentan dan memperkasa yang lemah.
