Industri ambil jalan mudah, punca pencemaran sungai meningkat

Industri ambil jalan mudah, punca pencemaran sungai meningkat

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR,. Isu gangguan bekalan air di Lembah Klang yang berpunca daripada pencemaran bekalan air mentah dari sungai kerap berlaku sejak kebelakangan ini sehingga menimbulkan persoalan mengapa pihak berkuasa masih buntu menangani masalah itu.

Terbaru, Selasa lepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas setelah pencemaran bau dikesan di Sungai Selangor, menyebabkan gangguan bekalan air melibatkan 1,139,008 akaun pengguna merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Pencemaran sungai yang sering berlaku terus mengundang resah dan bosan rakyat yang mahu tindakan lebih konkrit diambil kerana 90 peratus sumber air mentah negara ini diambil dari air sungai atau air permukaan.

Risiko pencemaran sungai seperti tidak akan berakhir terutama dengan situasi hari ini apabila berlaku pembangunan pesat di kawasan hulu sungai dengan pembukaan kilang dan premis yang boleh menyumbang kepada pencemaran. Dalam kes Selasa lepas, ia dikesan berpunca daripada pembuangan sisa dari sebuah premis di Taman Velox, Rawang yang melakukan pelepasan secara haram.

Bagi pensyarah Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Azhar Abdul Halim, sungai-sungai di Lembah Klang telah mencapai tahap tepu yang menjadikannya lebih sensitif kepada pencemaran.

Katanya oleh itu tidak ada pilihan lain untuk masalah itu melainkan mengawal pencemaran, menguruskan bahan-bahan kimia oleh kilang, memantau dan mengenal pasti sisa yang dilepaskan selain memperbanyakkan lagi kemudahan takungan air untuk kegunaan semasa kecemasan.

“Jika 20 tahun lalu, pencemaran yang berlaku masih boleh diserap tetapi sekarang lembangan sungai tidak lagi mampu dan sebarang pencemaran akan memberi kesan terus kepada rakyat dan pihak yang mencemarinya. Oleh itu pembuangan sisa industri secara tidak terkawal paling utama wajib dibanteras kerana ia menjadi sumber pencemaran,” katanya kepada Bernama.

Azhar berkata isu utama yg harus ditangani adalah kilang-kilang haram yang terdapat di Sungai Selangor terutama di bahagian hulu sungai kerana kilang haram ini sukar dipantau dan mengambil jalan mudah membuang sisa berjadual ke dalan sistem pembentungan untuk mengelakkan kos rawatan di Kualiti Alam, syarikat yang menguruskan pelupusan bagi sisa terjadual di Malaysia.

Kerana itu, setiap industri wajib berlesen dan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) seharusnya mempunyai maklumat yang terkini bagi setiap bahan kimia yang digunakan, sisa kimia yang bakal dan beroperasi dilupuskan.

“Peraturan memang telah ada iaitu bagi industri berlesen wajib merawat air sisa yang dilupuskan. Jika melibatkan sisa berjadual memang wajib dirawat atau dihantar ke Kualiti Alam untuk rawatan. Ini semua melibatkan kos dan ia perlu dipantau. Sementara itu kilang-kilang haram memang tidak akan ada sistem rawatan,” katanya.

Tegasnya, penguatkuasaan yang ketat perlu dilakukan oleh JAS kerana jika pemantauan dan penguatkuasaan longgar kemungkinan ada pihak industri walaupun berlesen tidak melupuskan sisa tanpa rawatan kerana kos yang perlu dibayar.

Mengikut peraturan yang ditetapkan JAS, sisa industri berjadual perlu dihantar ke satu premis tertentu untuk dirawat dan diuruskan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Peningkatan kekerapan pencemaran sungai yang berlaku kebelakangan ini menimbulkan tanda tanya adakah keadaan ini berkait rapat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dilaksanakan di kebanyakan negeri termasuk Lembah Klang ketika ini?

Pakar Kualiti Air dan Permodelan Kualiti Air Dr Zaki Zainudin berkata terdapat rasional andaian itu berikutan ramai peniaga dalam kalangan industri kecil dan sederhana mengalami kegawatan akibat PKP dan PKPB hingga ada yang terpaksa menutup operasi.

Keadaan ini juga dipercayai memberi kesan kepada kerja-kerja pembersihan sisa industri yang menyebabkan pihak terbabit mengambil jalan mudah melupuskan bahan-bahan pencemar sewenang-wenangnya.

“Kos rawatan sisa industri bukannya murah…, ia boleh menelan belanja beribu-ribu ringgit malah berpuluh-puluh ribu ringgit . Jadi mungkin disebabkan kegawatan ekonomi yang berlaku sekarang ini menyebabkan premis-premis ini mengambil jalan mudah bagi mengurangkan kos.

“Keadaan ini menyebabkan lebih banyak premis melupuskan sisa-sisa secara haram bagi kurangkan kos untuk mereka bertahan dalam situasi pandemik ini,” katanya.

Pihak berwajib sepatutnya mendengar pandangan pemain industri ini untuk mengetahui keadaan sebenar yang berlaku sama ada mereka terkesan dari segi kos merawat sisa industri.

Jika benar mereka terkesan, mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan pemberian insentif kepada mereka untuk memastikan mereka dapat merawat sisa industri seperti yang ditetapkan, kata Zaki.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )