Hari ATM disambut sederhana – Affendi Buang

Hari ATM disambut sederhana – Affendi Buang

KUALA LUMPUR,. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memasuki ulang tahun ke-87 tahun ini berdepan cabaran berlainan susulan penularan pandemik COVID-19.

Wabak yang memberi kesan global itu bakal merencatkan sambutan ulang tahun ATM yang sering kali diadakan meriah dengan kehadiran orang ramai.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata sambutan bertemakan ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’ itu akan disambut secara sederhana dengan acara perbarisan diadakan di Kem Sungai Besi di sini pada 22 September dengan penyertaan minimum bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak COVID-19.

“Sebelum ini, kita akan melihat padang kawat penuh dan ramai penonton hadir namun, tahun ini kita akan melakukan upacara sambutan mengikut norma baharu,” katanya kepada pemberita dalam wawacara khas sempena Hari ATM ke-87 di Wisma Pertahanan di sini.

Hari ATM disambut pada 16 September setiap tahun.

Selain itu, Affendi mengakui ATM turut menjadi mangsa penyebaran berita palsu ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal Mac lepas bagi mengekang penularan COVID-19.

Bagaimanapun menurutnya, perkara itu berjaya ditangani melalui penubuhan pasukan khas oleh ATM yang membuat penjelasan berhubung sesuatu isu berbangkit kepada umum.

“Kebanyakan berita palsu yang tular akan reda setelah diberi penjelasan tetapi ia tidak akan berhenti di situ sahaja kerana ada sesetengah individu masih mempunyai anggapan tidak betul dan berniat jahat,” katanya.

Jelasnya, antara penafian yang dilakukan semasa PKP adalah dakwaan seorang individu yang dikatakan dipukul dan dicederakan anggota pasukan keselamatan itu serta mesej memohon bantuan veteran yang turut tular di media sosial.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )