Ekonomi Teknologi Membuka Lebih Banyak Peluang Rakyat – Ramanan

Ekonomi Teknologi Membuka Lebih Banyak Peluang Rakyat – Ramanan

KUALA LUMPUR,. Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas memperlihatkan prinsip bahawa pertumbuhan ekonomi negara mesti akhirnya diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat, demikian menurut Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.

“Bagi saya sebagai Menteri Sumber Manusia, perkara paling penting adalah bagaimana kekuatan ekonomi negara dapat dirasai oleh pekerja dalam kehidupan seharian mereka, sama ada melalui pengurangan tekanan kos sara hidup, peningkatan kemahiran, peluang menjana pendapatan atau sokongan kepada mereka yang bekerja sendiri,” katanya yang menyambut baik pengumuman Anwar sempena Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026

Antara langkah yang diumumkan ialah peningkatan kelayakan asas BUDI95 daripada 200 kepada 300 liter sebulan, yang bakal memberi manfaat kepada lebih 16 juta pengguna.

Kerajaan turut mengumumkan kemudahan BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan kepada lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan pacuan empat roda yang layak.

Menurut Ramanan, langkah berkenaan penting kepada golongan pekerja yang bergantung kepada kenderaan untuk berulang-alik ke tempat kerja, selain mereka yang menggunakan kenderaan sebagai sebahagian daripada pekerjaan dan aktiviti menjana pendapatan.

Beliau turut menyambut baik pengumuman Program AI untuk Rakyat yang menyasarkan 100,000 belia berusia antara 18 hingga 30 tahun.

Mereka yang melengkapkan modul yang ditetapkan akan menerima langganan percuma selama tiga bulan bagi aplikasi AI terkemuka.

“Seperti yang saya selalu tegaskan, dunia pekerjaan sedang berubah dengan sangat pantas. AI, automasi dan pendigitalan bukan lagi perkara untuk masa hadapan, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada pasaran pekerjaan hari ini.

“Justeru, membuka akses kepada teknologi AI kepada 100,000 anak muda merupakan pelaburan penting untuk mempersiapkan bakat Malaysia dengan kemahiran yang relevan dan memastikan mereka tidak ketinggalan dalam perubahan landskap pekerjaan global, seperti Program Jelajah AI MYMahir yang menyediakan latihan AI secara percuma kepada lebih 22,000 rakyat Malaysia dengan peruntukan hampir RM110 juta melalui TalentCorp,” katanya.

Ramanan menegaskan bahawa semua segmen tenaga kerja merupakan sebahagian daripada kekuatan ekonomi Malaysia dan tidak boleh tercicir daripada perhatian serta dasar kerajaan.

Katanya, pendekatan berkenaan juga selari dengan usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk membangunkan pasaran buruh yang lebih inklusif, meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta memastikan perubahan ekonomi dan teknologi membuka lebih banyak peluang kepada rakyat.

“Semangat kemerdekaan mesti diterjemahkan kepada kehidupan rakyat. Seorang pekerja harus mempunyai peluang untuk meningkatkan pendapatan, seorang anak muda harus mempunyai kemahiran untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, dan mereka yang bekerja sendiri harus mempunyai ruang untuk terus berkembang.

“Inilah makna pembangunan yang inklusif apabila kemajuan negara tidak meninggalkan sesiapa di belakang dan hasil pertumbuhan ekonomi dikembalikan kepada rakyat,” katanya.

–GERBANGPOST

CATEGORIES
Share This