Dakwaan cadangan penubuhan SKN berkaitan IFC bersifat manipulatif – KPN

Dakwaan cadangan penubuhan SKN berkaitan IFC bersifat manipulatif – KPN

PUTRAJAYA,. Dakwaan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab bahawa cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional (SKN) berkaitan isu rumah ibadat tidak berdaftar dan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) adalah tidak benar, bersifat manipulatif dan mengelirukan masyarakat, menurut Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Mengambil maklum pelbagai pandangan dan reaksi berhubung pelaksanaan sesi libat urus cadangan penubuhan SKN yang sedang dijalankan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), KPN menjelaskan cadangan penubuhan SKN memberi penekanan kepada pendekatan pencegahan, pendamaian dan penyelesaian secara harmoni.

KPN dalam kenyataan hari ini memaklumkan pendekatan itu bukan bersifat menghukum semata-mata tetapi memberi fokus kepada pencegahan awal konflik, mediasi dan pendamaian, penyelesaian pertikaian secara konstruktif dan pengukuhan keharmonian masyarakat.

“SKN juga dicadangkan mempunyai fungsi untuk menjalankan siasatan terhadap isu yang menjejaskan keharmonian nasional, mengemukakan syor tindakan dan langkah pencegahan kepada kerajaan serta agensi berkaitan, mengendalikan proses mediasi secara rasmi dan menerbitkan laporan awam tertakluk kepada kepentingan keselamatan negara,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

KPN juga memberi jaminan cadangan penubuhan SKN tidak akan menyentuh atau mengubah perkara asas yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu dan hak Melayu serta Bumiputera.

“Kementerian memberi jaminan tegas bahawa sebarang cadangan berkaitan SKN tidak sama sekali akan menyentuh, mempertikai atau mengubah perkara-perkara asas yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara-perkara ini adalah asas utama pembentukan negara dan kekal dipelihara selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan serta kontrak sosial negara,” menurut kenyataan itu.

Antara perkara yang ditegaskan kekal terpelihara ialah Perkara 3 berkaitan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, Perkara 121 (kuasa Mahkamah Syariah), Perkara 32 dan 38 (kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu), Perkara 153 (kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah serta Sarawak) serta Perkara 152 (Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan).

KPN memaklumkan JPNIN telah diberi mandat untuk melaksanakan sesi libat urus secara menyeluruh bersama rakyat, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, pakar bidang, pemimpin masyarakat dan pemegang taruh bagi mendapatkan pandangan awal berkaitan cadangan berkenaan.

“Kementerian ingin menegaskan sesi libat urus ini bukan platform membuat keputusan muktamad, sebaliknya adalah ruang rasmi untuk mendapatkan pandangan, cadangan, kebimbangan serta maklum balas secara berhemah dan tersusun sebelum sebarang pertimbangan lanjut dikemukakan kepada kerajaan. Semua pandangan yang diterima akan direkodkan, diteliti dan diperhalusi secara objektif serta profesional,” menurut kenyataan itu.

KPN memaklumkan bagi sesi libat urus NGO 1.0, sebanyak 78 pertubuhan daripada pelbagai latar belakang dan bidang kepakaran telah dijemput, antaranya Multiracial Reverted Muslims, Persatuan Belia Islam Nasional, Ikatan Muslimin Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia dan Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Turut terlibat ialah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain Sarawak, Badan Peguam, Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam, Persekutuan Kristian Malaysia, Malaysia Hindu Sangam dan Persatuan Buddhist Malaysia.

Menurut kenyataan itu, sesi libat urus akan dijalankan secara bersiri dan berfasa melibatkan pelbagai kumpulan pemegang taruh termasuk NGO, agensi kerajaan, pertubuhan Islam oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, ahli Parlimen, parti politik serta kerajaan negeri bagi memastikan setiap pandangan dan perspektif dapat dinilai secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dasar dibuat.

KPN turut menjelaskan bahawa sesuatu Rang Undang-Undang tidak dipersetujui hanya melalui sesi libat urus kerana ia perlu melalui pelbagai proses ketat termasuk penilaian kementerian, semakan Jabatan Peguam Negara, Analisis Impak Peraturan, kelulusan Jemaah Menteri dan pembentangan di Dewan Rakyat.

“Sekiranya dapatan sesi libat urus tidak menunjukkan keperluan atau kesesuaian, proses cadangan penggubalan juga boleh dihentikan. Asas ini perlu difahami secara jelas dan matang oleh semua pihak,” menurut kenyataan itu.

KPN memaklumkan pendekatan libat urus secara terbuka dan inklusif adalah kaedah terbaik bagi memastikan setiap pandangan, cadangan dan kebimbangan semua pihak dapat diteliti secara objektif, berhemah dan bertanggungjawab.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This