
ATM, SPRM PERKUKUH KERJASAMA CEGAH RASUAH, PERKUKUH INTEGRITI
KUALA LUMPUR,. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh kerjasama dalam pencegahan rasuah menerusi pemeteraian nota kerjasama baharu bagi memantapkan integriti dan tadbir urus organisasi.
Markas ATM dalam kenyataan hari ini memaklumkan nota kerjasama itu dimeterai susulan kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman kepada Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman di Ruang Perkasa, Markas ATM.
Menurut kenyataan itu, kerjasama berkenaan bertujuan mempererat hubungan kedua-dua organisasi, khususnya dalam pencegahan rasuah, perkongsian maklumat serta pemantapan tadbir urus.
“Nota kerjasama ini menjadi kesinambungan iltizam kepimpinan ATM untuk melaksanakan pembersihan menyeluruh dalam pengurusan organisasi, khususnya dalam aspek perolehan dan kewangan,” menurut kenyataan itu.
Nota kerjasama berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Leftenan Jeneral Datuk Fazal Abdul Rahman dan Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM Datuk Saiful Ezral Arifin, dengan disaksikan Malek Razak dan Abd Halim.
Menurut Markas ATM, kerjasama itu mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi untuk memastikan ATM kekal bersih, telus dan berwibawa, selaras dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera ke-24, iaitu “Tatakelola Tuntas, Integriti Terpelihara”.
“Tonggak ini menuntut setiap perwira bukan sahaja cekap dalam tugas, malah teguh dalam amanah. Integriti ialah kekuatan tempur dan kepercayaan rakyat ialah perisai utama organisasi,” menurut kenyataan itu.
— BERNAMA
