
Agrobank lancarkan Agro Penjaja-i perkasa usahawan mikro melalui pembiayaan inklusif
KUALA LUMPUR,. Agrobank telah melancarkan Agro Penjaja-i, sebuah inisiatif komprehensif yang direka untuk memperkasa golongan penjaja dan usahawan mikro melalui pembiayaan inklusif, latihan keusahawanan, literasi kewangan serta kemudahan digital yang bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi mereka.
Program ini menyokong agenda keterangkuman kewangan negara dengan memperluaskan akses kepada perkhidmatan kewangan bagi komuniti perniagaan kecil dan sektor tidak formal.
Melalui Agro Penjaja-i, penjaja dan usahawan mikro yang layak boleh menikmati pelbagai manfaat dan kemudahan istimewa, tertakluk kepada terma dan syarat.
Antara tawaran utama termasuk kadar keuntungan istimewa bagi pelanggan yang membuka akaun Agro Tani Saudagar-i (individu) atau Agro Perdana Saudagar-i (bukan individu), pembiayaan mikro sehingga RM100,000, serta kemudahan kredit Cashline-i sehingga RM5,000.
Peserta juga boleh mendapatkan pembiayaan Ar-Rahnu sehingga RM300,000 dengan kadar keuntungan istimewa serendah RM0.50 sebulan, serta akses kepada laluan khas (Green Lane) untuk pemprosesan lebih pantas.
Selain itu, Agrobank akan menyediakan latihan percuma secara dalam talian dan fizikal melalui program literasi kewangan dan keusahawanan, serta bimbingan dan pemantauan selama tiga bulan.
Inisiatif ini turut merangkumi khidmat nasihat dan pembiayaan untuk pensijilan halal mengikut garis panduan Syariah, serta pakej DuitNow QR SoundBox berharga serendah RM114.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Agro Penjaja-i mencerminkan pendekatan holistik Agrobank dalam memperkasa penjaja dan usahawan mikro yang merupakan antara tunjang ekonomi negara.
“Melalui inisiatif ini, kita bukan sahaja menyediakan akses pembiayaan yang mudah dan inklusif, tetapi juga membantu mereka meningkatkan pengetahuan keusahawanan, kemahiran pengurusan kewangan serta keupayaan digital perniagaan,” katanya.
Beliau menambah bahawa pendekatan menyeluruh ini akan membantu penjaja meningkatkan pendapatan, mengembangkan perniagaan dan memperkukuh kelestarian ekonomi mereka, di samping menyokong aspirasi kerajaan untuk membangunkan sektor mikro yang lebih tersusun, mampan dan berdaya tahan.
Sebagai institusi kewangan pembangunan yang komited terhadap pembangunan sektor agromakanan negara, Agrobank akan terus memainkan peranan aktif sebagai rakan strategik komuniti usahawan tempatan menerusi penyediaan penyelesaian kewangan yang inklusif, progresif dan berteraskan prinsip Syariah.
