
CICW MALAYSIA KETENGAHKAN PERSPEKTIF ASIA DALAM WACANA GLOBAL MENGENAI ISLAM – DR WAN AZIZAH
KUALA LUMPUR,. Pejabat Centre for Islam in the Contemporary World (CICW) di Malaysia yang dilancarkan hari ini akan mengetengahkan perspektif Asia dalam wacana global mengenai Islam serta menjalin hubungan dengan masyarakat Islam di seluruh Asia Tenggara, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata penubuhan pejabat berkenaan merupakan cadangan Anwar bagi memperluas usaha pusat yang diasaskan Allahyarham Dr M Yaqub Mirza di Universiti Shenandoah, Amerika Syarikat (AS), ke Malaysia.
“Visi bersama kita untuk CICW Malaysia adalah jelas, iaitu membawa perspektif baharu dari Asia ke dalam wacana global mengenai Islam,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Kehidupan dan Sumbangan Dr M Yaqub Mirza di sini hari ini.
Dr Wan Azizah yang mewakili Anwar pada persidangan itu turut melancarkan pejabat CICW Malaysia bersempena dengan acara tersebut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.
Beliau berkata CICW Malaysia akan mendekati masyarakat Islam di beberapa negara termasuk Kemboja, Filipina dan Thailand, selain bekerjasama erat dengan masyarakat sivil serta mengekalkan hubungan konstruktif dengan kerajaan negara terbabit.
Dr Wan Azizah berkata Mirza telah membangunkan CICW sebagai sebuah institusi yang memupuk pemahaman kontemporari mengenai Islam ketika sentimen Islamofobia semakin meningkat di AS dan Eropah.
Beliau berkata pejabat CICW di Malaysia perlu meneruskan usaha Mirza serta beroperasi dengan asas kewangan yang kukuh dan telus.
Sambil merakamkan penghargaan terhadap jasa Mirza, Dr Wan Azizah berkata pendekatan tokoh itu terhadap perancangan kewangan berteraskan lima tonggak utama, iaitu memperoleh pendapatan, menabung, melabur, berbelanja dan memberi sumbangan.
Beliau berkata Mirza sentiasa menekankan bahawa amalan memberi sumbangan sama pentingnya dengan empat aspek lain dalam pengurusan kekayaan.
“Wacana mengenai etika perlu diketengahkan seiring dengan pembangunan ekonomi dan kewangan,” katanya.
Dr Wan Azizah turut mengimbau sokongan Mirza kepada keluarganya ketika Anwar dipenjarakan, malah tokoh itu sanggup ke Munich untuk melawat Anwar yang menjalani pembedahan tulang belakang di sana selepas dibebaskan pada September 2004.
“Pada saat-saat getir dan penuh ketidakpastian itu, kesetiaan serta sokongan yang diberikan beliau secara senyap menjadi sumber kekuatan buat kami,” katanya.
Sementara itu, UIAM menerusi kenyataan memaklumkan pelancaran pejabat berkenaan merupakan kesinambungan kerjasamanya dengan CICW yang turut menganjurkan persidangan sehari itu bagi mengenang jasa Mirza (1946-2025) serta meneliti sumbangannya terhadap kewangan Islam, pentadbiran zakat dan pembangunan institusi Islam.
Persidangan itu menghimpunkan sarjana, pengamal industri dan pemimpin masyarakat menerusi tiga sesi perbincangan panel yang memfokuskan kewangan Islam dan pentadbiran zakat, masyarakat Islam di Amerika Utara serta filantropi dan pembangunan komuniti.
Menurut UIAM, perbincangan itu dijangka menghasilkan cadangan praktikal bagi memperkukuh institusi Islam, menambah baik pentadbiran zakat serta memajukan amalan kewangan beretika.
Hadir sama Rektor UIAM Prof Emeritus Datuk Seri Dr Osman Bakar, Pengerusi Eksekutif SULUH Centre Nurul Izzah Anwar, Presiden CICW Dr Younus Y Mirza dan Naib Presiden Mirza Family Foundation Dr Fatima Y Mirza.
— BERNAMA
