Lelaki ditahan dipercayai ulat parkir di MRT Maluri

Lelaki ditahan dipercayai ulat parkir di MRT Maluri

KUALA LUMPUR,. Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an semalam bagi membantu siasatan berhubung kegiatan ulat parkir di kawasan MRT Maluri yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohd Rosdi Daud mengesahkan tangkapan itu, yang dilakukan kira-kira 2 petang.

“Tangkapan telah dilaksanakan semalam sekitar 2 petang terhadap suspek yang berusia awal 50-an,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Semalam, ParkIt Malaysia menerusi hantaran di platform Threads memaklumkan seorang lelaki telah ditahan polis selepas pihaknya membuat laporan dan menghubungi pihak berkaitan untuk mengambil tindakan di lokasi berkenaan.

Dalam hantaran itu, ParkIt Malaysia turut menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan polis bagi membantu siasatan serta mengenal pasti pihak yang didakwa menjadi dalang kegiatan berkenaan.

Sebelum ini, beberapa pengguna Threads mendakwa individu tertentu masih meminta bayaran parkir RM5 daripada pemandu, meskipun pihak pengurusan parkir telah memasang kain rentang yang memaklumkan bahawa parkir di kawasan itu adalah percuma.

Menerusi hantaran pada Khamis lepas, ParkIt Malaysia menegaskan pihaknya tidak mengenakan sebarang bayaran parkir di kawasan berkenaan, selain memaklumkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mengesahkan pihak ketiga yang terbabit tidak mempunyai lesen untuk beroperasi di tanah tersebut.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai resit, nama syarikat atau kod respons pantas (QR) yang digunakan individu terbabit diminta berkongsi maklumat bagi membantu tindakan lanjut.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This