
Mangsa banjir Selangor terima bantuan tambahan khas RM2,500 bermula esok – PMO
KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bantuan tunai tambahan khas sekali beri RM2,500 kepada setiap Ketua Isi Rumah mangsa banjir yang layak di Selangor, dengan pembayaran dijangka bermula esok.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bantuan itu bertujuan meringankan beban mangsa bagi menggantikan barangan keperluan rumah yang rosak atau musnah akibat banjir manakala kaedah pelaksanaan dan syarat kelayakan akan diumumkan oleh agensi pelaksana.
“Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengarahkan supaya pelaksanaan projek tebatan banjir dipercepat bagi menangani kejadian banjir berulang,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, bercakap kepada media selepas melawat mangsa banjir di Kuala Selangor, Perdana Menteri berkata bantuan berkenaan adalah untuk mereka yang mengalami tempoh pemindahan berpanjangan dan kerosakan besar akibat bencana tersebut.
Beliau berkata bantuan itu dijangka mula disalurkan esok dengan penyelarasan bersama pejabat kerajaan negeri bagi memudahkan urusan agihan.
Anwar berkata bantuan tambahan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan di bawah Jabatan Perdana Menteri itu diberikan susulan situasi banjir yang berlarutan selain mengambil kira kerugian dan kerosakan lebih besar yang dialami mangsa.
Beliau berkata bantuan itu adalah tambahan kepada Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 yang disalurkan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Ada keluarga itu, oleh kerana dah lama, bantuan RM1,000 itu dirasakan tidak cukup, kerosakan agak lebih, maka saya umumkan penambahan di Selangor bagi yang terkesan agak panjang dan kerosakan yang banyak… RM2,500 untuk satu keluarga,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian selepas melawat mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, Jeram di sini yang menempatkan 154 orang daripada 36 keluarga.
Dalam pada itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada semua petugas Kerajaan Persekutuan dan negeri serta sukarelawan termasuk pasukan perubatan yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir sepanjang cuti panjang sempena Deepavali.
Beliau berkata lawatan itu dilakukan bagi meninjau sendiri keadaan mangsa selepas mengambil kira banjir yang sudah berlarutan selama beberapa hari dan faktor cuaca serta air pasang.
— BERNAMA
