
AZERBAIJAN TEKAD BANGUNKAN SEMULA KAWASAN TERJEJAS KONFLIK, CAPAI KEAMANAN SERANTAU
KUALA LUMPUR,. Azerbaijan sedang mempergiat usaha membangunkan semula kawasan yang terjejas akibat konflik, di samping mengusahakan keamanan yang berkekalan serta kerjasama serantau di Caucasus Selatan.
Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia Khazar Farhadov berkata program “Great Return” negara itu memacu usaha menghidupkan semula kawasan berkenaan menerusi pembangunan infrastruktur moden, teknologi pintar dan penyelesaian tenaga hijau.
“Bandar dan perkampungan yang dahulunya musnah kini dibangunkan semula serta dilengkapi infrastruktur moden, teknologi pintar dan penyelesaian tenaga hijau,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun keenam Hari Kemenangan Azerbaijan yang diadakan di sini pada Jumaat.
Azerbaijan menyambut Hari Kemenangan pada 8 Nov setiap tahun.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan.
Beliau berkata usaha memastikan kepulangan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di negara sendiri ke tempat asal nenek moyang mereka secara selamat dan bermaruah kekal menjadi matlamat utama Azerbaijan.
“Usaha pembangunan semula secara besar-besaran ini bukan sahaja bertujuan memulihkan tanah air kami, tetapi juga membina masa depan yang mampan untuk penduduknya,” katanya.
Farhadov berkata tempoh enam tahun lalu menyaksikan satu babak perubahan yang belum pernah berlaku sebelum ini di Azerbaijan.
Mengenai hubungan serantau, beliau berkata Azerbaijan komited terhadap keamanan yang mampan dan kerjasama serantau di Caucasus Selatan.
“… Azerbaijan kini menjadi penyokong teguh keamanan yang mampan dan kerjasama serantau di Caucasus Selatan,” katanya.
Caucasus Selatan merangkumi tiga negara iaitu Azerbaijan, Armenia dan Georgia, serta terletak di antara Laut Hitam dengan Laut Kaspia.
— BERNAMA
