
AADK BINCANG DENGAN KDN PERMOHONAN PERUNTUKAN KAMERA BADAN
KUALA LUMPUR,. Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung permohonan peruntukan perolehan kamera badan kepada Kementerian Kewangan.
Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata ia susulan syor Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) supaya KDN memberi keutamaan kepada pembekalan kamera badan untuk pegawai dan anggota penguat kuasa AADK yang menjalankan operasi di lapangan.
“AADK kekal komited untuk memastikan setiap operasi penguatkuasaan dijalankan secara berhemah, telus dan mematuhi undang-undang serta hak asasi manusia demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata AADK juga akan menambah baik garis panduan berkenaan Pertimbangan Tahap Risiko semasa operasi selain memastikan pematuhan penggunaan buku catatan semasa menjalankan operasi penguatkuasaan tanpa sebarang pengecualian.
Selain itu, Ruslin berkata AADK akan mengambil tindakan susulan termasuk tatatertib terhadap pegawai yang didapati cuai atau gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berhubung insiden operasi penguatkuasaan di Bera, Pahang pada 13 Okt tahun lepas.
Semalam, EAIC mengesyorkan KDN memberi keutamaan kepada pembekalan kamera badan untuk pegawai dan anggota penguat kuasa AADK susulan insiden semasa satu operasi pengesanan Orang Yang Disyaki di Bera, tahun lepas.
EAIC memaklumkan siasatan mendapati berlaku kecuaian dalam pengendalian taktikal serbuan dan ketidakpatuhan SOP oleh Pasukan Operasi AADK Bera sehingga mencetuskan keadaan panik dan pergelutan yang mengakibatkan kecederaan kepada orang awam atau pihak ketiga di lokasi serbuan.
— BERNAMA
