PELABUHAN KLANG PERKUKUH INFRASTRUKTUR, KETERSAMBUNGAN UNTUK TINGKAT DAYA SAING

PELABUHAN KLANG PERKUKUH INFRASTRUKTUR, KETERSAMBUNGAN UNTUK TINGKAT DAYA SAING

KUALA LUMPUR,. Pelabuhan Klang memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, penambahbaikan ketersambungan dan kecekapan kos bagi meningkatkan daya saingnya sebagai antara hab perdagangan dan logistik utama di rantau ini.

Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang, Datuk Kapten K. Subramaniam, berkata pelabuhan itu kini merupakan pelabuhan kontena tersibuk ke-10 di dunia selepas melalui pembangunan infrastruktur selama beberapa dekad serta usaha berterusan memenuhi keperluan pasaran, khususnya syarikat perkapalan, pengeksport dan pengimport.

“Walaupun kami bertanggungjawab terhadap infrastruktur pelabuhan, prestasi pelabuhan hanya dapat dipertingkat jika infrastruktur sokongan turut tersedia, khususnya sistem jalan raya, landasan kereta api dan perkhidmatan lori.

“Justeru, kami bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk menambah baik keadaan jalan raya yang menghubungkan kawasan pelabuhan,” katanya, sambil menambah bahawa pihak pelabuhan turut menyumbang kepada penyelenggaraan beberapa jalan awam di sekitar kawasan berkenaan.

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama Bernama Mobile Studio sempena Transport Expo Asia 2026 (TXA 2026).

Subramaniam berkata Pelabuhan Klang komited untuk memberikan perkhidmatan kepada pengguna dan negara, selain aktif menyokong komuniti setempat.

Kecekapan kos turut menjadi pertimbangan utama, khususnya ketika pelabuhan di seluruh rantau ini terus membangunkan kemudahan bagi memperlancar perdagangan dan menarik pelaburan.

Beliau berkata Pelabuhan Klang berjaya mengekalkan kecekapan perkhidmatan pelabuhan dan pengangkutan, dengan caj pelabuhannya kekal relatif lebih rendah berbanding pelabuhan negara jiran.

Bagaimanapun, peningkatan kos sara hidup, inflasi dan faktor luaran, khususnya kenaikan harga bahan api, terus menjadi cabaran dalam usaha mengawal kos.

“Bagaimanakah kita dapat mengawal semua ini? Inilah cabarannya. Kerajaan memainkan peranan besar dalam membantu sesetengah industri mengurangkan kos mereka,” katanya.

Pendigitalan Tingkat Kecekapan Pelabuhan

Subramaniam berkata pendigitalan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan operasi Pelabuhan Klang, mengurangkan penggunaan dokumen fizikal dan mempercepat proses kerja.

“Jika kita melihat operasi kira-kira 30 tahun lalu, banyak urusan dilakukan secara manual. Kami mengendalikan banyak dokumen dalam bentuk salinan fizikal,” katanya.

Beliau berkata pendigitalan membolehkan data dikongsi dengan lancar antara pelbagai pihak, sekali gus menghapuskan keperluan mengemukakan maklumat sama berulang kali.

“Pada masa ini, kami boleh menghantar data kepada pelbagai pihak serentak. Selagi anda mempunyai kebenaran dan kelayakan akses yang betul, kami akan memastikan anda menerimanya, sekali gus menjimatkan banyak masa,” katanya.

Beliau berkata automasi turut mempercepat pemprosesan, dengan sistem kini berupaya memproses data dan meluluskan kebanyakan transaksi.

Katanya, kecekapan Pelabuhan Klang bertambah baik sejak beberapa tahun lalu, namun pelabuhan itu akan terus menambah baik operasinya seiring perkembangan pesat teknologi.

“Kita perlu mengikuti perkembangan teknologi. Namun, satu isu yang sering dibangkitkan ialah keselamatan siber. Oleh itu, kita juga perlu memberikan perhatian terhadap aspek ini,” katanya, sambil menegaskan bahawa keselamatan siber kekal menjadi kebimbangan dalam perkembangan pendigitalan.

TXA 2026 Wadah Kerjasama Industri, Perkongsian Ilmu

Subramaniam berkata TXA 2026 menyediakan platform untuk penyedia perkhidmatan, penyedia penyelesaian digital dan institusi latihan berkumpul bagi menangani keperluan industri.

“Penghimpunan pihak-pihak ini menyediakan wadah bersepadu untuk dialog. Persidangan itu turut membolehkan pemain industri berkongsi pengetahuan, meneroka inovasi dan mempelajari kaedah operasi rakan industri mereka di seluruh rantau ini.

“Logistik, perkapalan dan pengangkutan barangan merupakan industri antarabangsa yang beroperasi merentasi sempadan. Memandangkan industri ini melibatkan pelbagai negara, kerjasama antara negara merupakan satu-satunya cara untuk melancarkan perdagangan dengan cekap,” katanya.

Subramaniam turut menekankan kepentingan menyokong penyelidik muda dan inovator tempatan, sambil berkata MOT menyediakan data mentah yang tidak sulit menerusi sistem terbuka bagi membantu mereka membangunkan aplikasi yang boleh memberikan manfaat kepada industri.

TXA 2026 menghimpunkan 410 pempamer dan inovator teknologi dalam pameran yang menampilkan pelbagai penyelesaian pengangkutan, selain memperkenalkan anugerah sulung bagi mengiktiraf kepimpinan dan pencapaian dalam industri berkenaan.

Bertemakan “Future on the Move: Accelerating Next-Gen Transport”, ekspo itu menyediakan ruang pameran seluas 15,000 meter persegi sebagai wadah yang menemukan pemain industri, wakil kerajaan dan rakan antarabangsa.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This