
URIIS 2026 JANA POTENSI PELABURAN RM24 JUTA MENERUSI 84 KERJASAMA
KUALA LUMPUR,. Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan dan Inovasi Universiti 2026 (URIIS 2026) yang julung kali diadakan merekodkan 120 sesi libat urus antara universiti, pemain industri dan pelabur, sekali gus membuka peluang kepada 84 kerjasama berpotensi dengan nilai pelaburan diunjurkan sebanyak RM24 juta.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sidang kemuncak selama tiga hari itu turut menyaksikan pemeteraian 26 memorandum persefahaman (MoU), memorandum perjanjian (MoA) dan Surat Hasrat (Lol) selain pameran lebih 200 teknologi sedia untuk pelaburan oleh universiti awam dan swasta.
Beliau berkata perkara paling utama hasil penganjuran platform peringkat kebangsaan itu ialah keperluan melaksanakan tindakan susulan berkesan bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian komersial yang memberi manfaat kepada negara.
“Pertama, hasil penyelidikan mesti diperluas manfaatnya. penerbitan, paten dan prototaip merupakan pencapaian penting, namun kita juga perlu membantu penyelidikan berpotensi untuk berkembang menjadi penyelesaian yang terbukti berkesan, projek perintis, produk komersial serta penambahbaikan yang dapat dilihat dan dimanfaatkan masyarakat,” katanya ketika berucap pada penutup URIIS 2026 di sini hari ini.
Zambry berkata penglibatan industri sejak peringkat awal amat penting bagi merapatkan jurnag antara penemuan akademik dengan aplikasi dalam pasaran.
“Industri perlu dilibatkan dalam perbincangan sejak awal. Apabila syarikat membantu mengenal pasti masalah dan membentuk hala tuju penyelidikan, mereka juga boleh menyediakan data, kepakaran, kemudahan pengujian serta akses kepada pelanggan.
“Ini sekali gus membolehkan penyelidik mempunyai laluan yang lebih jelas untuk menterjemahkan penemuan mereka kepada aplikasi praktikal,” katanya.
Zambry berkata universiti perlu memperkemas proses pentadbiran dalaman bagi memudahkan kerjasama rentas sektor.
“Universiti perlu mempermudah pelaksanaan kerjasama. Proses membuat keputusan yang jelas, prosedur lebih ringkas dan kelulusan tepat pada masanya akan membantu penyelidikan serta rakan kerjasama merebut peluang, di samping memastikan tadbir urus yang baik terus terpelihara,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan memastikan inovasi mampu membuktikan nilai sebenar, penjimatan kos dan peningkatan produktiviti menerusi projek perintis serta kemudahan pengujian industri sebelum diperluas penggunaannya.
Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi bercadang memperluas inisiatif seperti Industri di Kampus, makmal bersama, makmal kehidupan sebenar (living laboratories) dan kilang pengajaran bagi membolehkan produk penyelidikan diuji serta disahkan keberkesanannya dalam persekitaran sebenar.
— BERNAMA
