
BELANJAWAN 2027: KPWKM USUL KENAIKAN ELAUN EPOKU, PETUGAS PPDK
SHAH ALAM,. Kenaikan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) dan elaun petugas di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) antara perkara diusulkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam Belanjawan 2027.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya komited untuk memastikan golongan itu serta individu terlibat dalam bidang penjagaan menerima sokongan sewajarnya bagi meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.
“Kebanyakan PDK bergantung kepada derma luar dan wakil rakyat di kawasan masing-masing menyebabkan perkara ini sering dibangkitkan supaya elaun ditambah untuk membantu masyarakat di kawasan diwakili,” katanya.
Nancy berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis penutupan Program Able for Disable dan Penyampaian Sijil Kursus Pengenalan Job Coach AEON 2026 di sini hari ini.
Nancy berkata menjelang pembentangan Belanjawan 2027, kementeriannya turut berharap agar cadangan berhubung pemerkasaan ekonomi penjagaan mendapat kelulusan.
“Kita mahu ia menjadi satu program yang berjaya untuk mereka yang memerlukan termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan mereka yang menjaga golongan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy pada ucapannya menyeru supaya semua pihak beralih daripada hanya sekadar menggaji OKU kepada usaha membangunkan bakat dan kerjaya golongan tersebut.
Beliau berkata pihak swasta memainkan peranan amat signifikan susulan peluang pekerjaan yang tersedia dalam sektor itu.
Sehubungan dengan itu, Nancy meminta pihak terbabit untuk menilai potensi dan sumbangan yang mampu diberikan oleh golongan OKU.
“Pada masa sama, saya menyeru organisasi agar melibatkan komuniti OKU dalam merancang persekitaran dan sistem pekerjaan yang inklusif. Prinsipnya mudah, kita tidak seharusnya membuat andaian tentang apa yang diperlukan OKU tanpa mendengar pengalaman mereka.
“Dalam agenda KPWKM, komuniti OKU turut ditekankan sebagai pengguna dan rakan yang perlu dilibatkan dalam menilai penyelesaian yang dibangunkan kerana ukuran sebenar ialah pengalaman mereka yang menggunakan sistem tersebut,” katanya.
— BERNAMA
