
60 PELAJAR TERIMA TAJAAN SKIM PEMBIAYAAN HUFFAZ JAKIM
BANGI,. Sebanyak 60 pelajar menerima tajaan menerusi Skim Pembiayaan Huffaz (SPH) kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) khusus untuk pelajar hafiz al-Quran tahun ini dengan nilai tajaan RM7 juta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata para pelajar akan mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD), sarjana dan sarjana muda di dalam dan luar negara.
“SPH yang diperkenalkan sejak 2012, merupakan satu manifestasi komitmen yang berterusan dan berpandangan jauh oleh Kerajaan Persekutuan dalam mengiktiraf, memartabatkan serta memelihara kebajikan para huffaz di Malaysia.
“Keunikan SPH ini adalah diberikan kepada mereka yang menghafaz al-Quran kerana kita ingin melahirkan huffaz yang profesional di dalam pelbagai bidang seperti perubatan, kejuruteraan, undang-undang, pengajian agama dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Amanat Bersama Pelajar Baharu SPH, di sini hari ini.
Beliau berkata sejak SPH diperkenalkan sebanyak 1,689 pelajar telah menerima manfaat.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata hala tuju pendidikan Islam perlu terus diperkasakan dengan mengintegrasikan ilmu turath, adab dan akhlak dengan kepakaran sains moden, kecerdasan buatan (AI), analisis data serta teknologi digital.
“Pendidikan Islam tidak boleh hanya bertindak balas terhadap perubahan zaman, malah juga perlu membentuk ke arah perubahan itu.
“Penghafal al-Quran abad ke-21 tidak boleh sekadar menjadi penjaga teks malah juga mesti bangkit sebagai penafsir dan penyelesai masalah kepada cabaran masyarakat dengan mengintegrasikan prinsip maqasid syariah dan tadabbur al-Quran dalam bidang masing-masing,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pelajar tajaan SPH JAKIM untuk mengamalkan literasi digital berteraskan adab, menjadi pemikir kritis serta mengelakkan penyebaran fitnah dan kebencian di media sosial.
— BERNAMA
