
KESELAMATAN, DISIPLIN DAN KAWALAN PROSPEK SENTIASA JADI KEUTAMAAN JABATAN PENJARA
KUALA LUMPUR,. Jabatan Penjara menegaskan aspek keselamatan, kawalan, disiplin dan kebajikan prospek sentiasa menjadi keutamaan jabatan berkenaan dalam pengurusan institusi penjara di seluruh negara.
Jabatan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya sentiasa melaksanakan operasi berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, termasuk aspek kawalan keselamatan, pemeriksaan, pemantauan serta tindakan terhadap sebarang pelanggaran peraturan.
Menurut Jabatan Penjara, pihaknya juga sentiasa melakukan risikan, pemantauan dan semakan secara berterusan bagi mengenal pasti sebarang risiko, ancaman atau pelanggaran peraturan agar tindakan pencegahan dan penguatkuasaan diambil dengan sewajarnya.
“Jabatan Penjara tidak menafikan bahawa salah laku atau kejadian terpencil boleh berlaku dalam mana-mana institusi.
“Setiap kejadian yang dikenal pasti akan ditangani mengikut peraturan dan SOP yang berkuat kuasa serta berada di bawah kawalan pihak berkuasa penjara,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Jabatan Penjara turut memaklumkan sebarang maklumat, aduan atau dakwaan berkaitan salah laku, pelanggaran undang-undang atau kemasukan artikel larangan ke dalam institusi penjara perlu dilaporkan kepada pihak polis atau saluran rasmi berkaitan agar siasatan dan tindakan sewajarnya dilaksanakan.
“Jabatan Penjara sentiasa terbuka terhadap sebarang maklumat yang boleh membantu memperkukuh sistem keselamatan dan pengurusan penjara. Pada masa sama, sebarang dakwaan hendaklah disalurkan melalui saluran yang sewajarnya supaya ia dapat disahkan dan ditangani berdasarkan fakta serta bukti,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan Jabatan Penjara sentiasa memperkemas dan menambah baik SOP, kawalan keselamatan, risikan serta mekanisme pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan institusi penjara kekal selamat, terkawal dan kondusif, selaras dengan aspirasi jabatan sebagai “Peneraju Perkhidmatan Korektif” yang berintegriti, profesional dan berteraskan pemulihan.
Semalam, Jabatan Penjara menafikan dakwaan penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman bahawa kehidupan dalam penjara bergantung kepada wang dan pengaruh.
Yasin, menerusi podcast AididitMyWay mendakwa wujud hierarki dalam kalangan banduan berdasarkan faktor kewangan dan pengaruh.
— BERNAMA
