
15 PENDATANG ASING DITAHAN DALAM OPERASI KHAS BANTERAS JUDI HARAM
KUALA LUMPUR,. Jabatan Imigresen menahan 15 pendatang tanpa izin dalam operasi khas membanteras kegiatan perjudian haram di empat premis di Pandan Jaya, di sini awal pagi semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi bermula 12.01 tengah malam itu dijalankan hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan oleh sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Beliau berkata dua daripada 15 individu ditahan ialah seorang lelaki Bangladesh dan seorang wanita Indonesia yang dipercayai berperanan sebagai penjaga premis dan juruwang.
“Turut ditahan tiga lelaki Myanmar, dua lelaki Indonesia, masing-masing seorang lelaki Bangladesh dan India serta enam wanita Indonesia berusia antara 21 hingga 38 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata semakan awal mendapati kesemua warga asing itu dipercayai melakukan pelanggaran imigresen termasuk menyalahgunakan pas, tinggal lebih masa serta tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
Turut disita dalam operasi itu tujuh pasport Indonesia, 31 tablet, 15 telefon bimbit, buku jadual pekerja, salinan perjanjian sewaan premis serta wang tunai RM1,674 yang dipercayai hasil kegiatan berkenaan.
Zakaria berkata premis berkenaan menjalankan kegiatan perjudian secara tertutup dengan kawalan keselamatan ketat dan hanya dibuka kepada pelanggan tetap atau individu yang dikenali.
“Premis berkenaan turut dilengkapi sistem kamera litar tertutup bagi memantau pergerakan pelanggan atau kehadiran pihak berkuasa manakala akses masuk dikawal menggunakan pintu besi bermagnet yang dikunci dari dalam,” katanya.
Beliau berkata kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 56(1)(d), Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Beliau berkata lima lelaki tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan.
— BERNAMA
