MAHA 2026 MEDAN UJIAN PRODUK “NEXT K-FOOD” KOREA SELATAN – CHANG

MAHA 2026 MEDAN UJIAN PRODUK “NEXT K-FOOD” KOREA SELATAN – CHANG

SERDANG,. Korea Selatan menggunakan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini sebagai medan ujian bagi produk masa hadapannya “NEXT K-food”, sekali gus mendapatkan maklum balas secara langsung pengguna Malaysia sebelum memutuskan produk yang berpotensi diperkenalkan secara lebih meluas di pasaran tempatan.

Pengarah Urusan Korea Agro-Fisheries and Food Trade Corporation (aT) Center Kuala Lumpur Chang Chung Ho berkata pavilion bertemakan “Discover Your NEXT K-food” sengaja menampilkan produk baharu dan berpotensi, berbanding hanya memberi tumpuan kepada produk sedia ada yang telah dikenali.

“Kami boleh sahaja memberi tumpuan kepada produk yang kini paling laris tetapi kami menggunakan peluang ini sebagai medan ujian bagi produk baharu untuk masa hadapan. Sebab itu kami menamakannya sebagai projek ‘NEXT K-food’,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif bersempena MAHA 2026 di sini hari ini.

Korea Selatan merupakan antara 14 negara yang mengambil bahagian di Pavilion Negara Antarabangsa di bawah inisiatif “MAHA Go Global”, yang kini memasuki edisi kedua.

Chang berkata MAHA menawarkan khalayak berbeza berbanding pameran perdagangan makanan konvensional lain, yang biasanya memberi tumpuan kepada pengimport, pengedar dan peserta perniagaan ke perniagaan (B2B).

“Di MAHA, kami dapat mendengar pandangan secara langsung daripada pengguna biasa Malaysia. Kami mengumpulkan maklum balas mereka, menganalisisnya dan memaklumkan kepada pengeksport mengenai perkara yang disukai dan tidak disukai pengguna, serta aspek produk atau pembungkusan yang mungkin perlu diubah suai,” katanya.

Beliau berkata pavilion Korea Selatan menampilkan produk daripada lima syarikat, dengan produk yang mengambil bahagian diperakui oleh badan halal Korea Selatan yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Antara produk yang sedang diuji ialah jus anggur dan pir tulen tanpa gula tambahan, minuman yogurt berperisa beri, minuman kacang hitam, madu propolis dan snek beras berbentuk “croissant”.

Mengenai pemindahan pengetahuan, Chang berkata aT sebelum ini pernah membawa seorang daripada pakar kimchi Korea Selatan yang terawal mendapat akreditasi kerajaan ke Kuala Lumpur untuk mengajar kira-kira 100 peserta kaedah penyediaan kimchi secara tradisional.

“Kami membawa pakar dari Korea ke Malaysia lebih dua kali setahun, bergantung kepada pembiayaan kerajaan. Kami juga membawa pembeli dan pengedar makanan dari Malaysia ke Korea Selatan untuk bertemu dengan pengeksport Korea,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This