MOU JPV-RDF RM4 JUTA PERKUKUH GENETIK TERNAKAN TEMPATAN

MOU JPV-RDF RM4 JUTA PERKUKUH GENETIK TERNAKAN TEMPATAN

SERDANG,. Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM4 juta yang dimeterai antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Rompin Dairy Farm Sdn Bhd (RDF), hari ini bakal memperkukuh pembangunan sumber genetik ternakan tempatan menerusi pengeluaran semen beku baka Giromas terpilih.

Kerjasama strategik itu meliputi pengeluaran semen beku lembu, serta penyelidikan berkaitan pembiakan dan pembiakbakaan ternakan, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada penggunaan teknologi pembiakan bagi meningkatkan produktiviti sektor ruminan negara.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Mohd Noor Hisham Mohd Haron berkata menerusi MoU itu, RDF akan membekalkan pejantan lembu baka Giromas terpilih kepada Institut Biodiversiti Veterinar Kebangsaan (IBVK), JPV bagi tujuan pengeluaran semen beku.

Beliau berkata IBVK akan menguruskan pejantan terpilih serta melaksanakan proses pemungutan, penilaian, pemprosesan dan penyimpanan semen beku mengikut prosedur serta piawaian yang ditetapkan.

“Kerjasama ini turut merangkumi pelaksanaan program perkhidmatan lanjutan, perkongsian sumber, fasiliti, data, pengetahuan dan kemahiran serta penyelidikan dan penerbitan bersama, dalam bidang berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas sesi pertukaran MoU bersempena dengan dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Pertanian Ekspo Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.

Pertukaran MoU disempurnakan Dr Mohd Noor Hisham dengan Pengarah RDF Fahrizal Hasan itu, disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Isham Ishak.

Dr Mohd Noor Hisham berkata penghasilan semen beku baka Giromas itu, dijangka memperluas akses kepada sumber genetik ternakan berkualiti, selain menyokong peningkatan kadar pengeluaran dan produktiviti lembu tempatan menerusi teknologi pembiakan yang lebih sistematik.

Beliau berkata kerjasama tersebut dapat memperkukuh perkongsian kepakaran antara sektor awam dan industri dalam penyelidikan, pembangunan teknologi pembiakan serta pemerkasaan sumber genetik ternakan tempatan.

Inisiatif berkenaan selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh industri ternakan negara melalui peningkatan keupayaan pengeluaran baka berkualiti, penggunaan teknologi pembiakan dan pembiakbakaan serta pembangunan sumber genetik haiwan secara mampan.

“Kerjasama ini diharap menjadi pemangkin kepada penghasilan baka ternakan yang lebih berkualiti dan produktif, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pengeluaran ruminan serta memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara,” katanya.

MAHA 2026 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept, menyasarkan potensi pelaburan sekurang-kurangnya RM8 bilion menerusi pemeteraian MoU dan memorandum perjanjian (MoA), selain RM58 juta nilai jualan langsung.

Acara dwitahunan itu merupakan platform utama sektor pertanian negara, yang menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan, usahawan serta institusi penyelidikan dan pendidikan tinggi bagi mengetengahkan inovasi, teknologi dan peluang perniagaan dalam sektor agromakanan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This