262 PENUNGGANG MOTOSIKAL DIPERIKSA, 155 SAMAN TRAFIK DIKELUARKAN

262 PENUNGGANG MOTOSIKAL DIPERIKSA, 155 SAMAN TRAFIK DIKELUARKAN

SHAH ALAM,. Seramai 262 penunggang motosikal diperiksa dan sebanyak 155 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik susulan pelaksanaan Ops Samseng Jalanan serta Ops bersepadu Ambang Merdeka masing-masing di Kuala Selangor dan Klang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintenden Azaharudin Tajuddin berkata operasi itu, yang bermula pada kira-kira 4 petang dan tertumpu sekitar Pantai Remis, dijalankan selepas kawasan tersebut dikesan menjadi lokasi penunggang motosikal berkumpul untuk mempamerkan aksi serta mengubah suai ekzos.

“Operasi tujuh jam itu membawa kepada pemeriksaan 140 kenderaan dan 90 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas selain tindakan sitaan diambil terhadap lima motosikal… kesalahan yang dikesan termasuk tiada lesen memandu, tidak memakai topi keledar, mengubah suai ekzos dan gagal mempamerkan pelekat L atau P,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey pula berkata dalam operasi di Persiaran Raja Muda Musa, Klang yang bermula pada 12.01 tengah malam menyaksikan seramai 122 penunggang motosikal diperiksa dan 65 saman lalu lintas dikeluarkan selain 21 motosikal disita.

Beliau berkata antara kesalahan yang dikesan ialah lesen tamat tempoh, nombor pendaftaran, mengubah suai ekzos serta struktur dan aksesori kenderaan.

“Selain itu, dua individu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan kesalahan memandu atau menunggang di bawah pengaruh alkohol,” katanya.

Lim berkata operasi itu, yang berakhir pada 6.30 pagi, adalah usaha bagi memastikan keselamatan dan kelancaran lalu lintas sepanjang sambutan ambang merdeka.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This