MBSB Bank umum pelancaran SME Stabilisation Relief Facility

MBSB Bank umum pelancaran SME Stabilisation Relief Facility

KUALA LUMPUR,. MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) telah mengumumkan pelancaran SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF), iaitu satu inisiatif pembiayaan strategik yang direka untuk menyediakan sokongan modal kerja tepat pada masanya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia yang berdaya maju.

Langkah ini sejajar dengan dana RM5 bilion yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu perniagaan mengurus gangguan operasi serta kekangan aliran tunai akibat konflik geopolitik yang berterusan di Asia Barat.

SME SRF ini disasarkan khusus kepada PKS Malaysia yang mengalami tekanan kewangan akibat gangguan perdagangan dan rantaian bekalan sejak Mac 2026.

Melalui inisiatif ini, MBSB Bank menyasarkan untuk menyediakan sokongan kecairan yang penting bagi membantu perniagaan meneruskan operasi serta mengharungi tempoh ketidaktentuan ekonomi global.

Bank turut memaklumkan bahawa proses penilaian kredit sedang diperkemaskan bagi memastikan perniagaan yang terjejas dapat menerima bantuan dengan lebih pantas.

Ketua Pegawai Perbankan Komersial Kumpulan MBSB Bank, Noor Mohamed Amin berkata, PKS kekal sebagai tulang belakang ekonomi Malaysia, namun sering menjadi pihak yang paling terdedah kepada perubahan geopolitik global.

Beliau menambah bahawa SME SRF merupakan satu intervensi proaktif yang bertujuan menyediakan penampan kecairan penting kepada perniagaan yang terkesan oleh gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos operasi, manakala penambahbaikan proses penilaian kredit akan memastikan PKS yang layak menerima sokongan kewangan segera bagi mengekalkan kesinambungan perniagaan serta memperkukuh daya tahan dalam keadaan ketidaktentuan pasaran.

Di bawah kemudahan ini, MBSB Bank menawarkan pembiayaan sehingga RM750,000 bagi setiap PKS untuk mengurangkan tekanan aliran tunai.

PKS yang layak boleh memperoleh pembiayaan dengan tempoh sehingga lima tahun pada kadar maksimum 3.75% setahun, termasuk fi jaminan.

Pembiayaan ini disokong oleh jaminan sehingga 80% daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), khususnya bagi PKS yang tidak mempunyai cagaran mencukupi.

Kemudahan ini dikhususkan untuk tujuan modal kerja sahaja dan tidak membenarkan pembiayaan semula mana-mana kemudahan sedia ada.

Untuk melayakkan diri, perniagaan mestilah PKS Malaysia yang berdaya maju seperti ditakrifkan oleh SME Corporation Malaysia, dengan sekurang-kurangnya 51% pegangan saham dimiliki oleh rakyat Malaysia.

Pemohon juga perlu membuktikan bahawa mereka terjejas secara ketara akibat gangguan perdagangan dan rantaian bekalan susulan konflik di Asia Barat.

Permohonan bagi SME Stabilisation Relief Facility akan dibuka mulai 15 Mei 2026 hingga 31 Disember 2026, atau sehingga dana digunakan sepenuhnya.

CATEGORIES
TAGS
Share This