Bank Rakyat perkukuh sokongan PMKS hadapi masalah aliran tunai

Bank Rakyat perkukuh sokongan PMKS hadapi masalah aliran tunai

KUALA LUMPUR,. Bank Rakyat terus memperkukuh sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi pelbagai inisiatif pembiayaan strategik bagi memastikan kelangsungan dan pertumbuhan perniagaan tempatan dalam keadaan ketidaktentuan bekalan global yang semakin mencabar.

Menerusi Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF) yang baharu diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia, pelanggan PMKS Bank Rakyat yang berdepan masalah aliran tunai akibat tekanan ekonomi global boleh memohon kemudahan tersebut mulai 15 Mei hingga 31 Disember 2026 atau sehingga peruntukan pembiayaan RM5 bilion digunakan sepenuhnya.

Selain itu, Bank Rakyat turut menawarkan Program MADANI MSME Scale Up (MMSP) yang menyediakan subsidi keuntungan sebanyak dua peratus bagi membantu PMKS mengembangkan perniagaan dan meningkatkan kapasiti operasi mereka.

Program itu melibatkan peruntukan subsidi tahunan sebanyak RM20 juta dan dijangka memberi manfaat kepada hampir 1,800 usahawan PMKS di seluruh negara.

Melalui subsidi 2 peratus tersebut, kemudahan berkenaan dijangka mampu menjana jumlah pembiayaan keseluruhan sehingga RM253 juta.

Inisiatif pembiayaan itu memberi tumpuan kepada sektor PMKS bernilai tinggi seperti keterjaminan makanan, penjagaan kesihatan, teknologi digital dan ekonomi hijau selaras dengan agenda pembangunan ekonomi negara.

Pada masa sama, Bank Rakyat turut menawarkan pelbagai kemudahan pembiayaan perniagaan lain khusus untuk PKS, terutama bagi membantu usahawan yang memerlukan pembiayaan modal kerja untuk memastikan kelangsungan operasi perniagaan dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.

Antara keutamaan utama bank itu ialah menyediakan akses pembiayaan yang lebih pantas dan mudah melalui proses kelulusan serta penyaluran dana secara ‘fast lane’, sekali gus membolehkan PKS memperoleh suntikan modal kerja dengan lebih cepat bagi memenuhi keperluan operasi harian, pembelian inventori, pembayaran pembekal dan pelan pengembangan perniagaan.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Bank Rakyat dalam menyokong pertumbuhan dan daya tahan PKS di seluruh negara, di samping memperluaskan akses kepada pembiayaan yang lebih inklusif, fleksibel dan responsif terhadap keperluan semasa usahawan.

CATEGORIES
Share This