
PTPTN umum dividen Simpan SSPN 2025 pada kadar 4.10 peratus
KUALA LUMPUR,. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan pengagihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi tahun 2025 pada kadar 4.10 peratus kepada para pendeposit.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim di Menara PTPTN, Kuala Lumpur pada Rabu, turut dihadiri oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, barisan pengurusan serta rakan strategik agensi berkenaan.
Agihan dividen berkenaan akan memberi manfaat kepada 6.07 juta akaun pendeposit Simpan SSPN, melibatkan anggaran peruntukan sebanyak RM505.68 juta. Secara keseluruhan, jumlah dividen yang telah diagihkan sejak penubuhan Simpan SSPN pada 2004 kini mencecah RM2.63 bilion.
Dividen akan dikreditkan terus ke dalam akaun Simpan SSPN masing-masing, dan pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan melalui aplikasi myPTPTN bermula 7 Mei 2026.
Kadar dividen 4.10 peratus yang diumumkan bagi tahun ini adalah lebih tinggi berbanding 4.05 peratus pada tahun 2024, sekali gus mencatatkan kadar tertinggi dalam tempoh 11 tahun terakhir.
PTPTN menyifatkan peningkatan ini sebagai hasil kecekapan pengurusan dana yang diterajui oleh kepimpinan lembaga serta pengurusan organisasi, berlandaskan tadbir urus yang berintegriti, strategik dan mampan bagi memastikan pulangan optimum kepada pendeposit.
Pencapaian ini turut disokong oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai tanda keyakinan terhadap prestasi pengurusan dana yang berdaya saing.
Menurut PTPTN, prestasi dividen turut disokong oleh strategi pelaburan patuh Syariah dalam pasaran wang dan sukuk tempatan, yang memberi penekanan kepada pemeliharaan prinsipal serta pulangan kompetitif.
Pengurusan risiko yang berkesan serta kepelbagaian portfolio pelaburan turut menyumbang kepada peningkatan pulangan.
Kadar dividen ini juga mencerminkan pulangan bersih pelaburan yang positif berbanding Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia yang kekal pada 2.75 peratus sepanjang tahun 2025.
Bagi tahun 2025, Simpan SSPN merekodkan jumlah deposit sebanyak RM3.33 bilion, meningkat RM154.10 juta atau 4.86 peratus berbanding RM3.17 bilion pada tahun sebelumnya. Lebih 500,000 akaun baharu turut dibuka dalam tempoh sama, menjadikan jumlah keseluruhan deposit terkumpul sehingga 31 Disember 2025 sebanyak RM23.88 bilion.
PTPTN menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti keyakinan berterusan masyarakat terhadap Simpan SSPN sebagai instrumen simpanan pendidikan utama di Malaysia.
Simpan SSPN terus menawarkan pelbagai keistimewaan termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma kepada pendeposit, serta Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi keluarga yang layak. Simpanan juga dijamin kerajaan dan berstatus patuh Syariah.
Sempena Belanjawan 2025, kerajaan turut bersetuju memperluaskan kriteria Geran Sepadan melalui Inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI), yang membolehkan keluarga berpendapatan antara RM4,000 hingga RM6,000 turut menerima manfaat tersebut.
Pendeposit yang layak boleh memohon geran sepadan sehingga RM5,000 bagi satu keluarga.
Maklumat lanjut mengenai Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi PTPTN atau aplikasi myPTPTN bagi urusan yang lebih mudah, cepat dan selamat.
