
KPKM, MPI bincang program perkasa komunikasi dan keterjaminan makanan
KUALA LUMPUR,. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengadakan pertemuan dengan Malaysian Press Institute (MPI) bagi membincangkan beberapa program berkaitan komunikasi, media dan keterjaminan makanan negara yang akan dilaksanakan tahun ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar) berkata antara perkara dibincangkan pada pertemuan semalam itu ialah mengenai penganjuran Forum Keterjaminan Makanan, Bengkel Komunikasi Strategik serta Majlis Anugerah Kewartawanan Kementerian, sebagai usaha memperkukuh kerjasama antara kementerian dan pengamal media.
“Dalam dunia hari ini, isu makanan bukan lagi sekadar soal pertanian semata-mata, tetapi turut melibatkan persepsi, keyakinan rakyat dan cara maklumat disampaikan kepada masyarakat.
“Sebab itu komunikasi yang tepat, bertanggungjawab dan berfakta amat penting supaya rakyat mendapat maklumat yang jelas serta tidak mudah terpengaruh dengan berita tidak sahih yang boleh mencetuskan keresahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.
Mohamad berkata media memainkan peranan besar sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat melalui kritikan membina, laporan seimbang serta penyampaian maklumat yang tepat.
Beliau berkata peranan itu penting dalam membantu negara berdepan cabaran global termasuk perubahan iklim, krisis geopolitik dan gangguan rantaian bekalan makanan dunia.
“Insya-Allah, kerjasama strategik antara KPKM dan pihak media akan terus diperkukuh demi memastikan agenda “Cukup dan Terjamin” dapat difahami dan dirasai manfaatnya oleh seluruh rakyat,” katanya.
–BERNAMA
