Bantuan bersasar lebih berkesan tampan krisis bekalan, bukan dasar monetari – Gabenor BNM

Bantuan bersasar lebih berkesan tampan krisis bekalan, bukan dasar monetari – Gabenor BNM

KUALA LUMPUR,. Dasar monetari pada asasnya merupakan instrumen pengurusan permintaan dan secara amnya kurang sesuai untuk menangani kejutan yang berpunca daripada faktor penawaran seperti kenaikan harga bahan api dan komoditi, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata dasar monetari juga adalah alat dasar yang bersifat menyeluruh dan memberi kesan kepada keseluruhan ekonomi, justeru penyelesaian bersasar dilihat lebih berhemat dan berkesan dalam menangani situasi kejutan penawaran.

Bagaimanapun, katanya, BNM akan terus berwaspada sekiranya tekanan harga menjadi lebih meluas dan berpanjangan.

“Jika tekanan harga daripada kejutan penawaran ini menjadi lebih meluas dan berpanjangan, maka mungkin peranan untuk dasar monetari (melakukan) intervensi,” katanya.

Abdul Rasheed berkata mekanisme sokongan kepada perniagaan yang terjejas telah tersedia dan maklumat mengenainya sedang disalurkan secara proaktif.

Beliau berkata pendekatan fiskal dan dasar monetari yang berhemat serta berdisiplin penting bagi memastikan penampan kewangan negara terus kukuh sekiranya keadaan ekonomi bertambah buruk.

“Daripada memperkenalkan pakej rangsangan yang bersifat menyeluruh, bantuan akan tertumpu kepada sektor dan perniagaan tertentu yang menghadapi kesukaran kewangan sebenar,” katanya.

Sementara itu, dantuan telah disediakan kepada perniagaan yang terjejas akibat konflik di Asia Barat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kata Abdul Rasheed.

Beliau berkata situasi semasa berbeza berbanding krisis COVID-19 sebelum ini apabila hampir semua sektor ekonomi terkesan secara menyeluruh.

“Ini tidak seperti COVID apabila sekatan pergerakan dilaksanakan di seluruh negara dan menjejaskan semua pihak.

“Kali ini, impaknya lebih tertumpu pada sektor tertentu, terutamanya yang amat bergantung pada minyak, produk berasaskan minyak mentah dan diesel,” katanya.

Abdul Rasheed berkata antara bantuan yang disediakan termasuk dana khas bagi membantu syarikat mendapatkan modal kerja untuk meneruskan operasi ketika berdepan gangguan perniagaan dan cabaran aliran tunai.

Selain itu, katanya, bantuan pembayaran balik pinjaman seperti penstrukturan semula dan penjadualan semula pembiayaan turut disediakan kepada peminjam yang terjejas.

Beliau menggalakkan perniagaan yang menghadapi kesukaran pembayaran balik supaya menghubungi bank masing-masing lebih awal bagi mempertimbangkan bantuan yang sesuai, termasuk penangguhan sementara bayaran ansuran dan semakan semula jadual pembayaran balik.

Pada April lalu, BNM memperkenalkan Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF) bernilai RM5 bilion bagi membantu PKS termasuk perusahaan mikro yang terkesan akibat konflik semasa di Asia Barat.

Kemudahan pembiayaan itu diwujudkan untuk melengkapkan bantuan sedia ada daripada industri perbankan ketika perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus berdepan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meningkat.

Permohonan bagi SME SRF akan dibuka mulai 15 Mei 2026 menerusi bank-bank yang mengambil bahagian.

PMKS boleh merujuk laman sesawang BNM untuk mendapatkan senarai institusi kewangan yang mengambil bahagian atau menghubungi bank masing-masing secara terus.

Sementara itu, Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi-Institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM) menyambut baik langkah berkenaan.

Industri perbankan juga terus memperkukuh komitmen untuk menyokong pelanggan dan memastikan perniagaan yang berdaya maju mempunyai akses berterusan kepada pembiayaan serta bantuan berkaitan.

Selain itu, usaha proaktif turut dijalankan bagi menghubungi pelanggan dan meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai langkah sokongan yang disediakan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada April lalu, persatuan terbabit menggesa PMKS yang terjejas akibat konflik berkenaan supaya menghubungi bank masing-masing lebih awal bagi mendapatkan penyelesaian yang sesuai termasuk bantuan pembayaran balik, penstrukturan semula dan sokongan modal kerja.

–Bernama

CATEGORIES
Share This