Majlis Sambutan 60 Tahun MARA, kekal progresif dalam menghadapi cabaran masa hadapan

Majlis Sambutan 60 Tahun MARA, kekal progresif dalam menghadapi cabaran masa hadapan

KUALA LUMPUR,. Majlis Amanah Rakyat (MARA) kini dipacu dengan hala tuju baharu berteraskan tujuh tujahan strategik bagi tempoh 40 tahun akan datang, dalam usaha memastikan institusi ini kekal relevan sebagai pemangkin utama pembangunan ekonomi dan mobiliti sosial Bumiputera.

Aspirasi baharu ini, yang digambarkan sebagai satu pelan tindakan menyeluruh, bertujuan menjadikan MARA sebuah agensi yang sentiasa berkembang dan memacu kemajuan komuniti Bumiputera merentasi sektor utama, khususnya keusahawanan, pendidikan dan pelaburan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyempurnakan Majlis Sambutan 60 Tahun MARA di World Trade Centre Kuala Lumpur hari ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tujahan pertama memberi tumpuan kepada pembangunan MARA sebagai sebuah konglomerat berjaya yang berteraskan pendidikan dan keusahawanan sebagai asas pembasmian kemiskinan serta penciptaan kekayaan Bumiputera.

Tujahan kedua menekankan pendekatan 3P iaitu penyertaan, pemilikan dan penguasaan bagi memastikan penglibatan Bumiputera bukan sekadar penyertaan, tetapi turut mencapai penguasaan bermakna dalam sektor bernilai tinggi termasuk teknologi digital, peralihan tenaga, elektrik dan elektronik, industri halal serta kewangan Islam.

Tujahan ketiga menyasarkan peningkatan sumbangan tenaga kerja mahir dan separa mahir Bumiputera daripada 30 peratus kepada 40 peratus dalam tempoh empat dekad akan datang.

Tujahan keempat memberi fokus kepada pembaharuan model pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) agar lebih berdaya saing serta berpotensi untuk disenaraikan di pasaran saham dalam dan luar negara.

Tujahan kelima bertujuan memperkukuh ekosistem MARA sebagai pusat sehenti yang mengintegrasikan pendidikan, keusahawanan dan pelaburan bagi meningkatkan kecekapan, pulangan serta mengurangkan birokrasi.

Tujahan keenam pula memberi penekanan kepada melahirkan usahawan Bumiputera bertaraf global yang mampu menembusi pasaran antarabangsa, khususnya dalam sektor berpotensi tinggi seperti industri halal, hospitaliti dan perkhidmatan penjagaan.

Akhir sekali, tujahan ketujuh menekankan kepentingan integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik bagi memastikan semua inisiatif pembangunan dilaksanakan secara bertanggungjawab dan berkesan untuk manfaat rakyat.

Sepanjang 60 tahun penubuhannya, MARA telah mencatat pencapaian besar dengan melahirkan lebih 1.3 juta usahawan, menyokong 357,863 PMKS Bumiputera di seluruh negara, serta menaja 1.88 juta pelajar termasuk ke luar negara.

Usaha ini telah memperkukuh penyertaan profesional serta menyumbang kepada kira-kira 30 peratus tenaga kerja mahir dan separa mahir negara.

Sementara itu, Akta MARA yang digubal lebih enam dekad lalu kini sedang melalui proses penambahbaikan bagi memastikan ia kekal relevan dengan keperluan semasa.

Ini termasuk memperluas mandat, memperkukuh tadbir urus berteraskan integriti, serta terus menjunjung aspirasi Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Pembaharuan ini bukan sahaja bertujuan melindungi kepentingan Bumiputera, tetapi juga memastikan MARA kekal progresif dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Karnival 60 Tahun MARA bertemakan ‘Menjunjung Amanah’ berlangsung dari 1 hingga 5 Mei 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur, menampilkan pelbagai program merangkumi pendidikan, keusahawanan, pelaburan dan perkhidmatan pengurusan, mencerminkan peranan berterusan MARA dalam pembangunan negara.

CATEGORIES
Share This