Sambutan Thai Ponggal perkukuh perpaduan – Aaron

Sambutan Thai Ponggal perkukuh perpaduan – Aaron

KUALA LUMPUR,. Sambutan perayaan Ponggal bukan sahaja melambangkan kesyukuran masyarakat India terhadap hasil tuaian, tetapi turut mencerminkan kekuatan kepelbagaian budaya sebagai asas perpaduan di Malaysia, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Aaron dalam perutusan perayaan itu yang disambut esok berkata Malaysia kaya dengan pelbagai pesta menuai yang diraikan oleh masyarakat berbilang etnik, sekali gus menyerlahkan keunikan negara yang bukan sahaja menerima, malah memahami, menghormati dan meraikan kepelbagaian sebagai teras perpaduan.

Beliau berkata kepelbagaian budaya dan perayaan merupakan antara kekuatan utama dalam pembinaan negara bangsa.

“Thai Ponggal merupakan perayaan kesyukuran bersempena dengan musim menuai yang melambangkan penghargaan terhadap alam, hasil bumi serta usaha gigih para petani. Perkataan Ponggal membawa maksud ‘melimpah’ sebagai simbol kemakmuran, rezeki dan kesejahteraan yang dikongsi bersama.

“Mengambil sempena ketibaan bulan Thai yang diraikan oleh masyarakat India sebagai tanda permulaan yang baharu, saya mengucapkan Ponggal Vaalthukal (selamat menyambut Ponggal),” katanya dalam hantaran menerusi Facebook.

Beliau berharap sambutan Thai Ponggal kali ini membawa kebahagiaan dan kemakmuran serta terus mengukuhkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian demi Malaysia yang harmoni dan sejahtera.

Ponggal menandakan permulaan bulan “Thai” dalam kalendar Tahun Tamil (Tahun Thiruvalluvar) dan disambut dengan penyediaan nasi manis untuk keluarga dan rakan-rakan sebagai tanda berterima kasih dengan hasil tuaian yang melimpah ruah.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This