
Modul Advokasi Keselamatan Jalan Raya JPJ, PERKESO rujukan standard lima golongan sasar
KUALA LUMPUR,. Modul Advokasi Keselamatan Jalan Raya yang dibangunkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan digunakan sebagai rujukan standard bagi lima golongan sasaran utama di seluruh negara.
Golongan tersebut merangkumi pelajar, belia, komuniti setempat, pekerja serta pemandu kenderaan berat, yang secara keseluruhannya mewakili antara segmen terbesar pengguna jalan raya di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata pembangunan modul itu menerapkan prinsip teras Vision Zero atau sifar kemalangan jalan raya, yang telah dijadikan kerangka panduan sejak pelaksanaannya pada 2017.
Beliau berkata, pendekatan tersebut kemudiannya disebarluaskan menerusi bengkel pembangunan modul bagi memastikan penyelarasan kandungan serta kaedah penyampaian advokasi, sekali gus membolehkan penyampaian mesej keselamatan jalan raya yang konsisten dan berkesan.
“PERKESO telah lama beralih daripada pendekatan yang hanya memfokuskan kepada pemberian faedah pampasan kepada pendekatan yang menekankan aspek pencegahan, selaras dengan amalan keselamatan sosial di peringkat antarabangsa,” katanya.
“Kepentingan pencegahan ini juga selari dengan prinsip LINDUNG yang diguna pakai oleh PERKESO, termasuk dalam usaha membendung insiden kemalangan jalan raya.
“Oleh itu, kami berharap modul ini dapat digunakan secara meluas dan konsisten sebagai rujukan standard dalam pelaksanaan program advokasi keselamatan jalan raya di seluruh negara,” tambahnya.
Azman berkata demikian selepas penyerahan 100 naskhah Modul Advokasi Keselamatan Jalan Raya PERKESO–JPJ (Edisi Pertama 2025) yang berlangsung di Menara PERKESO pada Selasa lalu.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Aedy Fadly Ramli, yang berkata isu keselamatan jalan raya kekal sebagai keutamaan nasional dan memerlukan usaha peningkatan kesedaran secara berterusan.
Beliau berkata usaha tersebut akan terus diperkukuh menerusi penglibatan pelbagai pihak berkepentingan bagi meningkatkan kefahaman serta membentuk tingkah laku pengguna jalan raya yang lebih selamat.
“Modul ini akan menjadi panduan komprehensif kepada lima golongan sasaran utama yang merangkumi sebahagian besar pengguna jalan raya di negara ini,” katanya.
Beliau menambah bahawa kerjasama dengan PERKESO juga membolehkan JPJ melaksanakan inisiatif advokasi yang lebih bersasar, khususnya dalam kalangan komuniti pekerja serta syarikat yang mencatat kadar kemalangan lebih tinggi berdasarkan data dan profil korporat PERKESO.
“Melalui pendekatan ini, program advokasi JPJ dapat meningkatkan lagi keberkesanan intervensi pendidikan keselamatan jalan raya,” katanya.
