
CBP rai pengamal media menerusi Program Apresiasi Media
KUALA LUMPUR,. Co-opbank Pertama (CBP) telah menganjurkan Program Apresiasi Media tahunannya, menghimpunkan pengamal media daripada pelbagai agensi media cetak dan elektronik dalam suasana yang mesra dan penuh muhibah.
Program tersebut menampilkan aktiviti sukan santai seperti pertandingan boling, perlawanan persahabatan bola sepak serta sesi ‘Kendurian Bersama Media’ yang berjaya menarik penyertaan besar daripada pelbagai organisasi media.
Memasuki tahun ke-75 penubuhannya, program ini menjadi platform untuk memperkukuh hubungan strategik jangka panjang antara CBP dan rakan media yang sentiasa menyokong pertumbuhan serta pembangunan jenama CBP.
Ketua Pegawai Operasi CBP, Syaiful Arief Syah Mohamed Said, berkata program ini merupakan salah satu inisiatif tahunan bank bagi menghargai peranan penting media dalam menyampaikan maklumat dan meningkatkan keterlihatan jenama CBP kepada masyarakat.
“Antara aktiviti yang dianjurkan adalah acara Sukan Bersama Media, termasuk perlawanan bola sepak pada 13 November 2025, pertandingan boling pada 29 November 2025 serta program Kendurian Bersama Media pada 27 November 2025,” katanya dalam satu kenyataan.
Syaiful menambah bahawa program ini amat bermakna kerana bukan sahaja berfungsi sebagai platform memperkukuh hubungan dengan rakan media, malah menzahirkan penghargaan CBP terhadap sokongan mereka sempena ulang tahun ke-75 bank itu.
CBP berhasrat meneruskan Program Apresiasi Media sebagai acara tahunan bagi memperkukuh kerjasama strategik bersama organisasi media, seterusnya membantu bank mencapai matlamat jangka panjang dan memberi manfaat yang lebih besar kepada masyarakat.
